26 Orang Murid Pra Sekolah Sertai Pertandingan Mewarna Anjuran PSB

Bersempena Hari Bertemu Pelanggan 2014, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan pertandingan mewarna bagi murid-murid pra sekolah. Pertandingan tersebut telah dimeriahkan dengan penyertaan oleh 26 orang murid pra sekolah dari Sekolah Kebangsaan Tawar,Kuala Ketil,Kedah. Mereka diiringi oleh Guru Besar mereka sendiri iaitu Cikgu Zahari bersama-sama dengan 3 orang guru pengiring.

Pertandingan mewarna ini bertujuan untuk melahirkan bakat-bakat seni mewarna yang baru serta mampu memupuk kesabaran di kalangan murid. Bagi mencapai kesempurnaan hasil yang baik, teknik yang betul harus dipraktikkan oleh murid murid yang menyertai pertandingan ini. Oleh itu peranan guru-guru pengiring serta pihak urusetia terlibat jturut membantu para persewrta dengan menunjuk ajar serba sedikit teknik mewarna yang betul. Terserlah di sini bahawa pertandingan seperti ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan mengeratkan silaturrahim di kalangan murid dan guru.

Pertandingan ini telah berlangsung selama 45 minit dan para pemenang pertandingan diumumkan semasa sesi penyampaian hadiah. Hadiah kepada para pemenang telah disumbang oleh para pembekal Pesta Buku Utara dan pihak PSB sendiri. Seterusnya murid-murid pra Sekolah Kebangsaan Tawar telah dibawa melawat sekitar bangunan PSB sebelum mereka berangkat pulang. Tahniah dan kudos kepada para pemenang!