82 PESERTA HADIRI BENGKEL AMALAN ERGONOMIK DI TEMPAT KERJA ANJURAN PSB

PSB Online  – Ergonomik perlu diberi perhatian serius di tempat kerja kerana sebahagian dari kehidupan pekerja dihabiskan di tempat kerja. Ketika bekerja pula pekerja perlu berada dalam keadaan yang selesa bagi memastikan mereka dapat melakukan kerja dengan baik, selamat , sistematik dan tanpa risiko. Kajian menujukkan bahawa persekitaran stesen kerja yang tidak ergonomik merupakan antara penyumbang utama kepada masalah kesihatan mental dan fizikal terhadap pekerja dalam sesebuah organisasi.

Prihatin akan situasi ini, Unit Latihan Dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) mengambil inisiatif menganjur satu bengkel Amalan Ergonomik Di tempat Kerja pada 13 Julai 2022. Bengkel ini telah diadakan secara atas talian  melalui platform Webex dan telah dihadiri seramai 82 peserta yang terdiri dari kalangan kakitangan PSB dan juga kakitangan serta pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM). Antara objektif program ini dianjurkan adalah supaya staf PSB  dapat mengenalpasti risiko ergonomik dan bagaimana mereka boleh mengatasi atau meminimumkan impaknya terhadap kesihatan diri sendiri.

Penceramah jemputan untuk pengisian program ini ialah Dr. Mohd Khairol B. Jambli , Pegawai Perubatan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Samarahan, Sarawak. Manakala Puan Nasiha Abdul Rashid, Pembantu Tadbir dari Unit Arkib Media Digital PSB pula bertindak sebagai Moderator program. Ceramah ini telah bermula pada pukul 10.00 pagi dengan sesi ‘Ice Breaking’ untuk penceramah mendapat sedikit maklumat mengenai latarbelakang para peserta dengan menjawab beberapa soalan melalui aplikasi Quizizz.

Antara perkongsian ilmu oleh Dr. Mohd Khairol tentang amalan ergonomik di tempat kerja  ialah definisi dan objektif bidang ergonomik, pengenalpastian  faktor risiko ergonomik (ERF) yang terdiri dari faktor fizikal, faktor psikososial dan faktor persekitaran. Selain itu penceramah juga turut menerangkan  mengenai 10  prinsip ergonomik. Untuk menarik perhatian audien, penceramah telah berkongsi beberapa sesi tayangan video  mengenai risiko ergonomik untuk memberi kefahaman  visual kepada peserta. Seterusnya Doktor Khairol menerangkan dengan lebih mendalam  tentang apa itu Musculoskeletal Disorders (MSDs) atau penyakit sendi, tulang dan otot yang merupakan gangguan dari masalah ergonomik. Selain itu beliau juga berkongsi tips cara mengendalikan dan mengangkat bebanan dengan betul kepada staf PSB yang mana rutin kerja mereka mengurus susunan buku.

Program ini telah berakhir pada pukul 12.00 tengahari. Di akhir program, satu sesi soal jawab dan kuiz telah diadakan untuk menguji tahap kefahaman peserta mengenai kandungan ceramah yang telah disampaikan. Pemenang bagi kuiz program ini telah dimenangi oleh Puan  Siti Suriyani Muhamad, Pustakawan dari Unit Perkhidmatan Data Penyelidikan PSB.

Secara keseluruhannya, semoga program ini memberi manfaat kepada semua staf PSB. Mengaplikasikan pendidikan ergonomik di tempat kerja amat penting ketika ini  agar kita mampu cakna akan kebaikannya selain dapat menghindari keburukannya sekiranya tidak diberikan perhatian serius di peringkat awal.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Azniza Binti Ahmad