
Pada 20 September 2016 yang lalu, satu majlis perpisahan iaitu “Majlis Sulaman Kasih Junjungan Budi” anjuran Kelab Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL) telah diadakan khusus buat tiga (3) orang warga Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang akan bersara serta menamatkan perkhidmatan mereka. Tiga (3) orang tersebut adalah En. Azmi Hamid (Penolong Pendaftar) yang akan bersara penuh pada 7 September 2016, En. Abu Hassan Ghazali (Pustakawan) yang akan berhijrah ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 29 September 2016 sebagai Timbalan Ketua Pustakawan dan Pn. Na’imah Ramdan (Pustakawan) yang akan bersara pilihan pada 1 Oktober 2016.
Majlis bermula pada jam 11.30 pagi dengan bacaan doa oleh saudara En. Isanuddin Bidin dan diikuti dengan ucapan Ketua Pustakawan, En. Salleh Hudin Mustaffa. Dalam ucapan tersebut, beliau dan seluruh warga PSB akan merasa kehilangan kerana ketiga-tiga staf tersebut adalah merupakan insan-insan yang telah lama berkhidmat dan merupakan orang penting dalam membantu menguruskan PSB serta amat rapat hubungannya sesama warga PSB. Setelah itu, majlis diteruskan dengan persembahan multimedia dan diikuti dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk “Muara Waktu” yang telah disampaikan secara duo oleh dua (2) orang warga PSB yang berbakat besar iaitu Pn. Ku Safina Ku Ismail dan Pn. Maziana Bakar. Lantunan sajak serta bait-bait ayatnya begitu menusuk kalbu sehingga membuatkan ramai menitiskan air mata sebagai tanda memahami erti yang tersirat disebalik sajak tersebut.
Walaupun hati masih diselubungi rasa terharu dan pilu mendengar deklamasi sajak yang telah disampaikan, majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada pegawai yang dirai iaitu Pn. Na’imah Ramdan diikuti oleh En. Azmi Hamid serta yang terakhir adalah En. Abu Hassan Ghazali. Pelbagai pesanan serta nasihat telah diberikan oleh mereka sebagai pendorong kepada semua warga PSB dalam menghadapi hari-hari mendatang dengan lebih berjaya. Kemudian, majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata oleh Ketua Pustakawan kepada pegawai yang dirai.
Sesudah itu, kesemua warga PSB dijemput untuk menikmati hidangan jamuan yang telah disediakan di Foyer Auditorium 2, Bangunan Baru PSB. Majlis berakhir pada jam 1.30 tengahari.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail