AMANAT TAHUN BAHARU 2017 DARIPADA KETUA PUSTAKAWAN

19 Januari 2017 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan satu majlis Amanat Tahun Baharu 2017 yang bertempat di Auditorium Bangunan Tambahan, PSB . Amanat ini disampaikan oleh Encik Salleh Hudin Mustaffa selaku Ketua Pustakawan kepada semua kakitangan PSB.

Majlis amanat ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada Ketua Pustakawan untuk berjumpa dengan semua kakitangan PSB pada tahun baharu 2017 disamping menyampaikan ucapan terima kasih diatas kerjasama dan sumbangan kakitangan PSB sepanjang tahun 2016 dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan memenuhi keperluan dan kepuasan pengguna. Beliau menekankan perkara-perkara yang menjadi agenda utama univerisiti seperti penerbitan, perundingan dan penyelidikan dimana cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Universiti turut dirasai oleh kakitangan dan persediaan dan perancangan masa hadapan amat perlu agar perkhidmatan yang disediakan oleh PSB akan kekal relevan kepada pengguna perpustakaan. Selain itu beliau juga menyatakan bahawa dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini seharusnya mendorong setiap kakitangan PSB untuk berbelanja secara berhemah serta mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga atau insan sebaik mungkin kerana situasi kehidupan masa hadapan yang akan lebih sukar.

Mesra dan suka membantu adalah satu sifat yang perlu ada dalam diri setiap warga PSB sebagai penjawat awam yang memberi khidmat kepada penggunanya disamping mempertingkatkan lagi kemahiran-kemahiran lain yang dapat membantu kakitangan menyediakan perkhidmatan yang berkualiti seperti kemahiran teknologi maklumat, penguasaan bahasa inggeris dalam berkomunikasi serta mengamalkan nilai-nilai profesionalisme dalam tadbir urus jabatan. Beliau juga memaklumkan bahawa pihak kementerian menggalakkan pendidikan antara universiti dan bidang yang fleksibel dikalangan pelajar dan pendidik sama ada tempatan mahupun antarabangsa. Bagi menyahut cabaran ini, semua kakitangan PSB disarankan untuk bersedia menerima perubahan dan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran secara formal ataupun tidak formal bagi memastikan perkhidmatan yang akan diberikan selari dengan keperluan dan kehendak pengguna.

Turut serta dalam majlis ini adalah Puan Shukra Shuib, Timbalan Ketua Pustakawan bersama pegawai-pegawai kanan Perpustakaan yang lain.

Majlis ini berakhir pada jam 9.45 pagi.

Disediakan oleh: Hanie Azyyati Abdul Jamil

Gambar oleh: Ishar Md. Zain