BAKAL PSB PRIHATIN BANTU KELUARGA KURANG BERKEMAMPUAN

23 Februari 2017 – Seramai 5 buah keluarga kurang berkemampuan di Changkat Setoi dan kawasan sekitar mendapat perhatian Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), UUM menerusi aktiviti khidmat masyarakat BAKAL. Sumbangan berupa barang keperluan seperti beras, minyak masak,gula,kopi dan lain-lain serta bantuan kewangan sebanyak RM104 setiap keluarga adalah daripada sumbangan ikhlas warga PSB sendiri.

Penyerahan sumbangan ini telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi BAKAL dan juga AJK BAKAL yang sempat berkunjung sendiri ke rumah keluarga penerima. Antara yang mendapat sumbangan ialah Pn. Siti Fatimah (50 tahun), Kg. Changkat Setoi, En. Md Suhardi Othman (38 tahun) dan Noor Hidayah Abdullah (38 tahun), Kg. Changkat Setoi, Pn. Sharipah Bt Abdullah (41 tahun), Kg Masjid Pauh, Pn. Jamilah Shaari (49 tahun), Kg Sg Petani, dan Pn. Siti Shuehaida UPSB (36 Tahun), Kg Padang Charok. Maklumat penerima diperolehi daripada Pn. Maimunah Mohamad, Pn. Ema UPSB dan Cikgu Dunian, guru Sekolah Menengah Sintok.

Aktiviti seperti ini adalah bertujuan untuk memberi sokongan kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk menjalani kehidupan mereka dengan lebih selesa, dihormati dan tidak rasa tersisih. Diharap dengan sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban dan penderitaan yang ditanggung oleh mereka.

Semoga aktiviti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar mereka tidak mengalami kesusahan untuk meneruskan kehidupan.

Disediakan oleh : Asmaniza Mansor & Siti Suriyani Muhamad

Gambar oleh : AJK BAKAL