PENGALAMAN MENYERTAI PERTANDINGAN VIDEO PENDEK PALESTINE OLEH PN. KU SAFINA KU ISMAIL​

PSB Online – Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan satu pertandingan Video Pendek Palestine bagi menyatakan solidariti terhadap negara Palestine yang kini sedang ditindas oleh negara haram Zionis Israel. Pertandingan ini telah dibuka penyertaannya bermula 30 Mei 2021 sehingga 13 Jun 2021.

 Pada 30 Jun 2021 yang lalu, Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Pendek Palestine telah diadakan oleh penganjur Pusat Islam. Antara pemenang pertandingan ini adalah merupakan salah seorang staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) iaitu Pn. Ku Safina Ku Ismail dari Unit Repositori Universiti, Bahagian Arkib Universiti. Mengambil peluang ini, PSB amat berbangga akan penglibatan dan kejayaan beliau ini, ikuti catatan pengalaman beliau sepanjang menyertai pertandingan ini;

​”Semasa tempoh bekerja dari rumah, terdapat emel yang diiklankan oleh Pusat Islam berkenaan Pertandingan Video Pendek Palestine anjuran Pusat Islam UUM dan IKRAM Kubang Pasu dengan tema : Palestine, Kami Sentiasa Bersamamu. Pertandingan ini agak menarik perhatian saya dan anak-anak kerana penganjuran ini bertepatan dengan kemelut yang melanda Palestine pada ketika itu yang diserang oleh puak Zionis.

Disebabkan hati hancur luluh melihat penduduk dan anak kecil Palestine bermandi darah melawan Israel, saya mengajak anak-anak meluahkan solidariti sebagai rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestine dengan menghasilkan video pendek tersebut yang bertajuk “Niat Si Kecil”. Judul ini terhasil daripada niat anak kedua untuk menyumbang sedikit duit lebihan sekolah yang disimpan untuk disalurkan ke Tabung Palestine. Justeru, saya mencadangkan jalan cerita, anak sulung (Nur Balqis Qalesya) sebagai perakan dan editor bagi video yang dihasilkan di mana watak utama adalah anak kedua (Nur Bashirah Qaisara).

​Penghasilan video pendek ini didorong oleh minat anak-anak dalam pengeditan video. Penghasilan video pendek ini hanyalah dirakan menggunakan telefon pintar anak. Proses pengeditan video pula hanyalah menggunakan aplikasi “Capcut dan PicsArt” yang dipasang di dalam telefon terbut. Tempoh rakaman pula hanya mengambil masa 1 hari dan video dihantar pada tarikh akhir penyertaan ditutup. Kami menyangka bahawa pertandingan ini hanyalah di peringkat UUM sahaja. Namun semasa kami dijemput untuk menghadiri sesi penyampaian hadiah danpengumuman pemenang pertandingan secara dalam talian barulah kami mengetahui bahawa pertandingan tersebut adlaah terbuka di seluruh Malaysia dan Pusat Islam telah menerima sebanyak 26 penyertaan dari seluruh Malaysia. Kami amat tidak menyangka bahawa video kami dipilih dan diumumkan sebagai pemenang Tempat Ketiga Kategori Umum di antara 26 penyertaan yang dihantar dari seluruh Malaysia. Kami bersyukur dan anak-anaklah yang paling teruja dengan kemenanngan ini dan ianya menjadi pembakar semangat anak-anak untuk terus menghasilkan video yang lebih kreatif pada masa akan datang. Tempat Ketiga Kategori Umum menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100.”

Tahniah diucapkan kepada Pn. Ku Safina dan keluarga beliau terutama anak-anak kecil yang begitu bersemangat dalam melahirkan solidariti terhadap ketidakadilan dunia. Generasi ini adalah pemimpin masa hadapan dan galakan yang berterusan harus diberikan kepada mereka. Semoga negara Palestine yang kita cintai ini bakal terbela nasibnya tidak lama lagi dan menjadi sebuah negara yang bebas merdeka.

 

Disediakan oleh: Ku Safina Ku Ismail

Disunting oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Ku Safina Ku Ismail dan sumber google