PSB LAKSANA SESI TAKLIMAT DAN LANTIKAN PETUGAS PENGOPERASIAN SANITASI DAN DISINFEKSI PSB

PSB Online  – Gelombang varian Omicron yang melanda negara ketika ini, tidak boleh dipandang ringan hanya kerana ciri gejala dan simptom yang disifatkan tidak begitu memudaratkan. Ini kerana kadar kebolehjangkitannya yang bukan sahaja tinggi, malah sama seperti varian lain penularannya perlu dikawal dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dalam usaha membendung kemaraan dan risiko jangkitan Omicron, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 09 Mac 2022 telah mengambil inisiatif mengadakan satu sesi  Taklimat dan  Lantikan Petugas Pengoperasian Sanitasi dan Disinfeksi.

Sesi ini telah dipengerusikan oleh Puan Norma Said, Penolong Ketua Pustakawan, Bahagian Khidmat Pengurusan dan dibantu oleh Puan Azni Idayu Shuib, Penolong Pegawai Tadbir, Unit Penyenggaraan Bangunan. Taklimat telah bermula pada pukul  10.30 pagi dan di adakan di Paras  Satu, Bilik Mesyuarat Bangunan Utama. Seramai 16 orang kakitangan PSB yang terdiri dari kalangan Pembantu Pustakawan dan Pembantu Operasi telah dikenalpasti dan dilantik untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi di seluruh bangunan perpustakaaan.

Sebelum itu, sebagai persediaan untuk melakukan proses sanitasi mengikut tatacara yang dianjurkan oleh KKM, PSB telah menghantar seramai 6 orang stafnya menghadiri Kursus Teknikal Sanitasi Dan Disinfeksi anjuran Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UUM pada 27 Feb 2022. Kursus ini telah diadakan di Astaka Padang Kawad PALAPES UUM. Lantikan  para petugas sanitasi ini adalah mewakili  semua lokasi pejabat dan ruang yang terdapat di Bangunan PSB. Menurut Puan Norma “proses sanitasi harian akan dilakukan  di ruang pejabat dan ruang kerja masing-masing iaitu pada waktu pagi sebelum semua staf memulakan rutin  kerja harian mereka. Manakala proses sanitasi mingguan  pula, yang lebih menyeluruh di semua premis PSB, akan dilakukan pada setiap hari Selasa pada pukul 4.30 petang sebelum tamat waktu bekerja”. Semua alatan keperluan untuk tujuan sanitasi  dan bancuhan bahan kimia akan dibekalkan oleh Unit Penyenggaraan Bangunan PSB.

Di akhir sesi taklimat, Encik  Mohd Amirul Kasyful Nur Zulkifli, Penolong Pustakawan dari Unit Arkib Ilmiah telah berkongsi sedikit  ilmu dan pengalaman sebagai salah seorang peserta yang menghadiri Kursus Teknikal Sanitasi dan Disinfeksi. Sebelum majlis bersurai, para petugas pengoperasian sanitasi telah diberikan surat lantikan secara rasmi oleh Puan Norma Said yang mewakili Ketua Pustakawan PSB. Majlis ini berakhir pada pukul 11.30 pagi.

Semoga semua petugas pengoperasian sanitasi yang dilantik dan diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan PSB dapat menggalas dan berganding bahu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi memberi keyakinan kepada staf dan pengguna PSB bahawa PSB cakna akan keselamatan mereka ketika berada di premis PSB.

Bersama kita membendung penularan dan jangkitan virus  COVID-19 di tempat kerja kita. Kita jaga kita.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar oleh :  Ishar Md. Zain