PSB Online – Kakitangan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah memberi komitmen yang tinggi untuk menjayakan Program Gotong Royong Perdana Kampusku Lestari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 14 Jun 2022. Antara matlamat gotong royong ini diadakan adalah bagi mengindahkan kawasan universiti dengan hasrat memberi manfaat dan keselesaan kepada warga kampus khususnya kepada para pelajar UUM. Selain dari itu, aktiviti sedemikian juga dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama warga kerja di samping menceriakan persekitaran kampus.
Sesi perasmian program ini telah diadakan di Foyer PSB dan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM iaitu Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah. Setelah selesai majlis perasmian, semua staf PSB berkumpul mengikut kumpulan yang telah ditetapkan untuk mendengar taklimat dari ketua kumpulan masing-masing tentang gerak kerja pembersihan yang melibatkan kawasan yang agak luas untuk diliputi dan dibersihkan dalam masa 4 jam sahaja. Selain daripada itu, para peserta program juga perlu mendapatkan peralatan pembersihan yang telah disediakan untuk kerja-kerja pembersihan mengikut lokasi yang telah ditentukan.
Aktiviti gotong-royong pembersihan ini melibatkan 4 kumpulan gerak kerja di kalangan warga PSB. Antara aktiviti gotong-royong yang ditetapkan adalah, Kumpulan 1 bertangungjawab mencuci longkang belakang Bangunan Utama dan sekeliling Bangunan Tambahan. Kumpulan 2 pula perlu membersih semua tangga dan pemegang tangga laluan kecemasan yang terdapat di Bangunan Utama dan Bangunan Tambahan. Sementara itu Kumpulan 3 dikehendaki memastikan semua ‘duct tape’ di meja, lantai Foyer dan tangga PSB dikikis dan dibersihkan, membersih longkang hadapan Bangunan Utama dan juga laluan Loading Bay. Manakala, kumpulan 4 pula perlu memangkas, mencabut, menyapu daun dan membuang sampah-sampah di kawasan sekitar Bangunan Tambahan.
Program gotong royong perdana peringkat universiti ini telah berakhir pada pukul 12.45 tengahari. Pihak pengurusan PSB mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan sumbangan tenaga semua staf yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga program gotong royong ini dapat memupuk semangat kerjasama dan merapatkan ukhuwah di kalangan warga kerja PSB.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : PSB Official Whatsapp Group