SCAVENGER HUNT PSB 2022 ERATKAN HUBUNGAN BERSAMA PENGGUNA

PSB Online – Pertandingan Scavenger Hunt PSB 2022 telah diadakan pada 28 Jun 2022 yang lalu bertempat di sekitar bangunan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Pertandingan ini telah melibatkan sekitar 50 peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar prasiswazah Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama oleh wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Scavenger Hunt adalah aktiviti yang memerlukan peserta untuk menjelajah perpustakaan dengan memburu dan mengumpul klu-klu penting, menjawab soalan-soalan yang diberi dan yang paling mencabar adalah mereka perlu menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberi oleh penjaga klu sebelum menerima klu seterusnya dan menamatkan pemburuan mereka. Tugasan-tugasan yang perlu mereka selesaikan adalah agak mencabar di mana mereka perlu menyusun buku mengikut call number, menamakan 5 perisian komputer, mengikuti dan menyukai laman sosial PSB, mencipta pick up line, menyusun puzzle, melakonkan sedutan cerita P.Ramlee serta memuatnaik ke dalam laman sosial dan perlu membuat tag ke laman sosial PSB, meneka pepatah atau simpulan bahasa menerusi lukisan, mencipta pantun 4 kerat yang bertemakan perpustakaan, menari tarian seperti chicken dance, zapin, Gangnam style dan baby shark serta tugasan terakhir adalah bermain bowling menggunakan bola kertas dan botol berisi air sebagai pin.

Program ini adalah anjuran Bahagian Perkhidmatan Pelanggan, PSB dengan dibantu oleh beberapa staf PSB dari pelbagai bahagian yang lain sebagai urusetia atau pemegang klu. Antara objektif utama program diadakan adalah untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat di antara pelajar dan perpustakaan selain dapat memberi pendedahan yang lebih mendalam mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan di PSB secara  santai agar pelajar-pelajar lebih seronok untuk berkunjung dan menggunakan sumber-sumber di perpustakaan.

Perjalanan program ini dimulai dengan majlis perasmian ringkas yang disempurnakan oleh Ketua Pustakawan, En. Salleh Hudin Mustaffa. Sebelum pertandingan bermula, sedikit taklimat ringkas juga turut diberi oleh Pustakawan dari Bahagian Perkhidmatan Pelanggan iaitu Cik Nor Allia Askandar mengenai pertandingan dan perjalanan program. Pertandingan ini tamat sekitar jam 12.00 tengahari dan majlis penyampaian hadiah juga turut diadakan dan disempurnakan oleh Ketua Pustakawan.

Sekalung tahniah diucapkan kepada pemenang-pemenang dan semua peserta kerana telah berjaya menamatkan pemburuan klu mereka dengan kejayaan menyelesaikan tugas-tugasan yang diberi. Semoga peserta dapat mengenali perpustakaan dengan lebih dekat lagi dan semoga program seperti ini dapat dilaksanakan lagi di masa akan datang.