BAKAL ANJUR AKTIVITI ‘FIT CHALLENGE” UNTUK KESEDARAN AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

PSB Online – Aktiviti ‘Fit Challenge” anjuran Badan Kebajikan Kakitangan dan Amal Perpustakaan (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diadakan pada 26 Julai 2022 bermula jam 8.30 pagi.

Aktiviti ini adalah terbuka kepada semua warga PSB dan telah diadakan di Pusat Sukan, Universiti Utara Malaysia (UUM). ‘Fit Challenge’ ini dimulai dengan sesi pemanasan badan di trek balapan Pusat Sukan sebelum peserta diberi sarapan pagi.

Seusai sarapan peserta bergerak ke lokasi permainan Sukan Petanque dan Badminton. Bagi yang tidak pernah dengar apa itu sukan Petanque, ia merupakan permainan tradisional yang berasal daripada negara Perancis yang merupakan pengembangan dari permainan zaman Yunani Kuno sekitar abad ke-6 sebelum masihi. Versi moden dari permainan Petanque diperkenalkan oleh Jules Boule Lenoir pada tahun 1907 di kota La Ciotat, di Provence, di selatan Perancis.

Peserta aktiviti ini telah ditunjuk ajar oleh 4 orang tenaga pengajar yang terdiri daripada atlet Petanque UUM yang juga turut mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. Peserta telah diberi pendedahan mengenai kaedah permainan dan mata yang perlu dikumpul oleh setiap permainan. Setelah diberi pendedahan, peserta mula bermain sendiri sambil diselia oleh tenaga pelajar tersebut. Mata yang perlu dikumpul oleh setiap kumpulan untuk memenangi permainan adalah sebanyak 13 mata.

Selepas bermain Petanque, peserta turut berkesempatan bermain Badminton yang diadakan di dalam gelanggang Badminton, Pusat Sukan UUM. Permainan ini dimain secara santai dan relaks. Peserta juga turut berpeluang bertanya dan menuntut ilmu mengenai sukan ini bersama senior-senior yang mahir bermain Badminton mengenai peraturan permainan.

Ketua Pustakawan, En. Salleh Hudin Mustaffa juga turut meluangkan masa bersama-sama bermain Sukan Petanque dan Badminton ini. Aktiviti bersukan sememangnya perlu dalam kehidupan seharian kita bertujuan untuk membantu mengekalkan kesihatan yang terbaik selain daripada pemakanan seharian. Semoga aktiviti seperti ini dapat dibudayakan agar kesihatan masa hadapan lebih terjamin.

Aktiviti ini tamat sekitar jam 12.00 tengahari.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib