NASI LEMAK DAN TEH O PANAS PERCUMA BUAT 100 PENGUNJUNG TERAWAL PSB

PSB Online – Bersempena dengan minggu peperiksaan yang bermula pada 16 Julai sehingga 4 Ogos 2022, Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengambil inisiatif untuk meraikan para pelajar dengan menyediakan sarapan percuma buat seratus pengunjung terawal perpustakaan.

Menerusi Bahagian Perkhidmatan Pelanggan yang diketuai oleh Puan Mazyana Hashim, sarapan pagi telah disediakan di Bilik Academic Learning Commons di Bangunan Tambahan PSB pada 27 Julai 2022 seawal jam 8.30 pagi. Sebanyak seratus bungkus nasi lemak tersedia untuk dinikmati bersama-sama dengan teh o panas oleh pengunjung perpustakaan yang terawal.

Pemberian sarapan percuma ini adalah inisiatif pihak perpustakaan untuk menghargai penggunanya serta menzahirkan rasa kebersamaan dalam menghadapi perjuangan menduduki peperiksaan akhir serta mendapat skor yang terbaik sebelum mereka bercuti semester pada 5 Ogos sehingga 1 Oktober 2022 nanti.

Selain daripada itu, pemberian sarapan pagi secara percuma ini juga adalah sebagai salah satu langkah untuk menggalakkan pengguna mengunjungi perpustakaan. Perpustakaan bukan sahaja menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik namun pengguna juga dapat belajar secara lebih fokus dan tenteram dengan keselesaan di perpustakaan selain dapat merujuk sumber-sumber rujukan yang tersedia untuk mengulangkaji pelajaran mereka. Tambahan pula, pengguna juga boleh belajar secara berkumpulan dengan menggunakan fasiliti yang tersedia.

Besar harapan perpustakaan dalam mendokong visi dan misi universiti dengan pelbagai usaha yang dilakukan ke arah kejayaan proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan untuk melahirkan graduan universiti yang terbaik. Semoga usaha kecil ini dapat memberi manfaat yang besar kepda pengguna untuk mencapai kejayaan dalam pengajian mereka.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Siti Suriyani Muhamad