PSB Online – Pada 25 Ogos 2022 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima lawatan penandaarasan dari Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perlis.
Lawatan seramai 20 orang ini tiba di pekarangan foyer PSB pada jam 9.30 pagi dengan diketuai oleh En. Mohd Fahizan Hamid selaku Timbalan Ketua Pustakawan. Delegasi ini disambut baik oleh warga PSB dan sebelum dibawa ke Auditorium 1 untuk sesi taklimat, satu sesi fotografi beramai-ramai telah diadakan di pekarangan pintu masuk Perpustakaan.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pn. Rahimah Ishak mewakili En. Salleh Hudin Mustafa, Ketua Pustakawan yang tidak dapat turut sama menyambut tetamu kerana atas urusan rasmi yang tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun Pn. Rahimah menyampaikan pesanan kepada delegasi mengenai harapan Ketua Pustakawan yang berharap agar objektif lawatan penandaarasan ini dapat dicapai dengan jayanya.
Selepas itu, satu taklimat ringkas mengenai maklumat umum PSB telah disampaikan oleh Cik Noraini Alias selaku Ketua Unit Komunikasi Korporat. Manakala ucapan wakil dari Perpustakaan Dato. Jaafar Hassan, UiTM Perlis juga telah diberi oleh En. Mohd Fahizan dengan menyatakan harapan dan hasrat mereka memilih dan mengunjungi PSB untuk proses pembelajaran dan penambahbaikan pengurusan Perpustakaan mereka.
Fokus lawatan penandaarasan ini adalah untuk melihat gerak kerja di Bahagian Arkib Universiti dan Bahagian Perkhidmatan Pengguna di mana di Arkib mereka mempelajari mengenai kaedah membangunkan dan menguruskan Koleksi Arkib Universiti, menguruskan dan mengemaskini data sistem digital dalam tempoh masa yang ditetapkan dan lain-lain lagi. Manakala di Perkhidmatan Pengguna, mereka didedahkan mengenai amalan PSB untuk mendidik pengguna kaedah menggunakan perkhidmatan, kemudahan dan koleksi perpustakaan, pelaksanakan program literasi maklumat yang berkesan serta pelbagai maklumat lain lagi.
Lawatan ini tamat sekitar jam 1.00 tengahari seusai sesi tandatangan buku pelawat, penyampaian cenderamata dan juga jamuan tengahari. Semoga objektif lawatan penandaarasan ini berjaya dicapai di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara kedua-dua belah pihak.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib