PSB MERIAH RAI PERTANDINGAN GUBAHAN SIRIH JUNJUNG DAN PAKAIAN KELUARGA MALAYSIA

PSB Online  – Perkarangan Auditorium 2 Bangunan Tambahan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) menjadi gamat dan riuh-rendah dengan  bergemanya gelak tawa, tepukan gemuruh dan sorakan semangat dari warga pustaka setelah sekian lama sunyi dari mengadakan aktiviti sebegini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kali terakhir suasana riuh sebegini berlaku ialah pada Ogos 2019 ketika Pertandingan Dekorasi Makanan Era Sebelum Merdeka diadakan.

Suasana meriah ini kembali lagi dengan lebih gamat bagi menyemarakkan sambutan sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada tahun ini. Unit Perkhidmatan Pelanggan, Bahagian Perkhidmatan Pengguna telah berjaya menyusun program dengan menganjur pelbagai aktiviti  menarik sepanjang bulan kemerdekaan pasca pandemik khusus kepada keluarga besar PSB. Antara pengisian program yang diadakan adalah Pameran Kemerdekaan, Pertandingan Kuiz Kemerdekaan, Pertandingan Pakaian Keluarga Malaysia dan Pertandingan Gubahan Sirih Junjung.

Antara acara yang menjadi tumpuan dan yang paling mendapat sambutan adalah Pertandingan yang julung-julung kali diadakan iaitu Pertandingan Pakaian Keluarga Malaysia dan Pertandingan Gubahan Sirih Junjung. Program ini dijalankan serentak pada hari yang sama yakni pada hari terakhir sambutan bulan kemerdekaan  di PSB. Menurut Puan Mazyana Hashim, Ketua Bahagian Perkhidmatan Pengguna “penyertaan pertandingan pakaian keluarga Malaysia adalah terbuka kepada semua warga PSB yang berminat dan tiada tempoh tutup penyertaan”. Apabila ditanya mengenai Pertandingan Gubahan Sirih Junjung, beliau berkata “kesemua tujuh bahagian di PSB disyaratkan untuk menghantar satu kumpulan sebagai peserta”. Tambah beliau lagi “bagi kami tujuan utama penganjuran pertandingan ini adalah supaya semua staf dapat berkumpul dalam suasana santai untuk mengeratkan hubungan silaturahim , berfoto untuk kenangan,  dan dalam masa yang sama kita semua dapat menambah ilmu pengetahuan tentang peranan sirih junjung dalam adat melayu dan busana tradisional setiap kaum keluarga Malaysia yang diperagakan oleh para peserta“.

Seramai 18 orang peserta telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Pakaian keluarga Malaysia dengan penampilan segak bergaya, cantik lagi anggun berbusana pelbagai kaum seperti yang ditetapkan oleh penganjur. Ada pakaian dan perhiasan diri yang diperagakan milik peribadi koleksi keluarga, ada yang meminjam dari rakan kaum India dan ada yang sanggup mengeluarkan duit poket sendiri dengan menyewa pakaian dan aksesori dari butik pengantin. Setiap kali para peserta muncul dengan busana masing masing di perkarangan auditorium 2, tepukan gemuruh, sorakan dan pujian dari rakan-rakan yang teruja sebagai tanda penghargaan dan sokongan  demi untuk menjayakan pertandingan ini. Antara busana yang diperagakan ialah pakaian tradisional Melayu, Cina, India dan Punjabi.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi Mat Taib