PSB BERKONGSI ILMU AMALAN PERSEKITARAN BERKUALITI 5S DENGAN SBM

PSB Online  – Jawatankuasa 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) menyambut baik hasrat Jawatankuasa 5S Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Universiti Utara Malaysia yang memilih PSB sebagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) rujukan untuk lawatan penanda arasan budaya amalan persekitaran berkualiti QE/5S bagi sesi tahun 2023.

Seramai 13 orang kakitangan pentadbiran SBM telah terlibat menjayakan lawatan penanda arasan pada 14 Jun 2023 dan kunjungan ini telah disambut mesra oleh Pengerusi Jawatankuasa 5S yang baharu dilantik iaitu Cik Hanie Azyyati Abdul Jamil di perkarangan Bangunan Utama PSB. Turut serta meraikan kehadiran rombongan lawatan ini adalah Ahli Jawatankuasa Induk 5S dan juga semua Ketua – ketua Zon 5S di PSB.

Semua ahli rombongan SBM ini telah diiring ke Bilik Mesyuarat Bangunan Tambahan untuk sesi taklimat ringkas mengenai pelaksanaan, pencapaian dan aktiviti yang dijalankan untuk memperkasa 5S di PSB sepanjang tahun 2022 dan juga sedikit perkongsian mengenai aktiviti yang bakal dilaksana pada tahun 2023.

Menurut Puan Zaini Bt. Majid iaitu Pembantu Tadbir dan Operasi dari SBM, tujuan lawatan ini adalah untuk berkongsi ilmu disamping mencari idea-idea baharu dan segar bagi meningkatkan pengurusan dan strategi pelaksanaan 5S yang lebih berkualiti di SBM. Di samping itu, lawatan ini juga diharap dapat memberi suntikan motivasi serta sebagai salah satu kaedah menyokong antara satu sama lain dalam usaha mengekalkan pembudayaan amalan 5S di tempat kerja masing-masing.

Selepas selesai taklimat dan sesi bertukar pandangan, agenda lawatan tapak iaitu lawatan sekitar bangunan dan semua Zon 5S PSB diteruskan dengan dimulai dari Sudut 5S Zon Zamrud yang terletak bersebelahan dengan pejabat Bahagian Perkhidmatan Pengguna. Untuk tujuan penambahbaikan berterusan, fokus lawatan lebih diberikan untuk meninjau  dan bertukar idea mengenai  kreativiti dan impak inovasi yang telah dihasilkan oleh PSB. Untuk gambaran yang lebih jelas, ahli rombongan 5S SBM telah dibawa melawat ke semua Zon 5S di Bangunan Utama dan Bangunan Tambahan PSB.

Lawatan ini telah berakhir pada jam 12 tengahari dengan sesi menandatangani buku lawatan dan juga sesi fotografi bersama pelawat yang diraikan. Semoga  lawatan ini bermanfaat dan dapat membantu memberi input dan aspirasi kepada SBM untuk terus komited melakukan yang terbaik dalam pelaksanaan 5S. Jawatankuasa 5S PSB merakamkan penghargaan terima kasih atas kesudian SBM memilih PSB sebagai lokasi  lawatan penanda arasan  5S mereka bagi tahun ini.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad

Gambar :  Nurul Hidayati Binti Yusri