LAWATAN KERJA NAIB CANSELOR UUM KE PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH

PSB Online – Baru-baru ini Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima kunjungan Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foa’d Sakdan menerusi satu lawatan kerja ke perpustakaan.

Sedar akan kepentingan perpustakaan sebagai gedung ilmu, kunjungan kali ini tertumpu kepada strategi mengoptimumkan penggunaan ruangan dan kemudahan di perpustakaan agar dapat menarik lebih ramai pelajar mengunjungi perpustakaan.

Menyambut mesra kunjungan Naib Canselor adalah Ketua Pustakawan, Prof. Madya Dr. Che Azlan bin Taib bersama pegawai-pegawai di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Dalam pertemuan ini, Mohd Foa’d berkata “Perpustakaan perlu bersiap sedia menghadapi perubahan seiring dengan kepantasan teknologi digital untuk memenuhi kehendak arus semasa dan pengguna masa hadapan”.

Bertempat di Bilik Mesyuarat Bangunan Tambahan, PSB, satu pembentangan khas oleh Ketua Pustakawan mengenai hala tuju Perpustakaan telah disampaikan. Antara intipati pembentangan adalah meliputi   perancangan jangka pendek dan jangka panjang PSB.

Naib Canselor juga turut membuka peluang kepada semua pegawai yang hadir untuk mengajukan persoalan agar dapat diketengahkan dan dibincangkan dengan lebih lanjut.

Sebelum berangkat pulang, Naib Canselor telah dibawa melawat ke sekitar bangunan Perpustakaan antaranya adalah Bahagian Arkib Universiti. Kagum dengan koleksi arkib, beliau juga teruja apabila meilhat tersimpan kemasnya Plak Perasmian Kampus UUM yang ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada tanggal 17 Februari 2004.

Selain itu, beliau juga turut menyatakan keyakinan beliau terhadap pucuk kepimpinan baharu yang diterajui oleh Ketua Pustakawan. Tambah beliau lagi, beliau yakin PSB mampu berdaya saing untuk kekal relevan di masa akan datang.

Lawatan ini diadakan pada 8 Ogos 2023 dan tamat sekitar jam 3.45 petang.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Asyraf Syed Ismail