PSB Online – Pada 28 Ogos 2023 Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berbesar hati menerima lawatan seramai 173 orang pelajar sekolah anak jati Sarawak yang mendapat biasiswa pendidikan hasil tajaan Yayasan Sarawak. Lawatan ini adalah sempena program “Perkampungan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) 2023” yang dianjur oleh Kelab Patriot Chapter Sarawak UUM yang berkolaborasi bersama Yayasan Sarawak untuk menyuntik motivasi diri dengan menerokai kehidupan sebenar sebagai seorang pelajar universiti.
Rombongan ini tiba di perkarangan Perpustakaan pada jam 10.30 pagi dan telah dibahagikan kepada 6 kumpulan kecil untuk memudahkan proses lawatan masuk secara berperingkat dan terus dibawa ke Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB. Rata-rata pelajar yang menyertai sesi lawatan ini adalah terdiri daripada pelajar yang berumur dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun. Selain itu, turut serta adalah 15 pegawai pengiring dan 19 pelajar UUM yang bertindak sebagai Urus Setia program.
Para pelajar telah diberi taklimat ringkas mengenai tajuk “Smart Choices Begin With Information Literacy” yang dikendalikan oleh 4 orang pegawai dari Unit Pendidikan Pengguna, Bahagian Perkhidmatan Pengguna. Kesungguhan, minat dan motivasi yang tinggi terpamer apabila majoriti pelajar yang terlibat begitu aktif mengambil bahagian dalam sesi soal jawab di penghujung taklimat.
Seusai taklimat, kesemua peserta program dibawa melawat ke sekitar ruangan dalam perpustakaan sambil diiring oleh seorang Pembantu Pustakawan bagi setiap kumpulan untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai segala kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh sesebuah Perpustakaan akademik seperti PSB. Para pelajar, telah dibawa meninjau ke koleksi-koleksi buku iaitu Koleksi Khas, Koleksi Undang-Undang dan Koleksi Umum selain ke beberapa fasiliti yang lain seperti Makmal Komputer, Surau, Post Graduate Learning Common, dan Academic Learning Common dan lain-lain.
Pendedahan secara ‘hands on’ juga turut diberi mengenai tatacara pencarian buku mengunakan terminal OPAC (Online Public Acces Catalog). Selain itu, mereka turut didedahkan mengenai tatacara peminjaman bahan menggunakan Mesin Layan Diri (Selfcheck Machine) dan tatacara pemulangan bahan dalam pinjaman menggunakan Mesin Pemulangan Diri (Mesin Bookdrop).
Lawatan ini berakhir pada pukul 12.30 tengahari dengan sesi bergambar beramai-ramai di ruang bacaan umum dan juga sesi menandatangani buku lawatan oleh Ketua Delegasi Yayasan Sarawak sebagai kenang-kenangan. Puan Mazyana Hashim, Ketua Penolong Pustakawan berterima kasih atas lawatan ini dan berbesar hati menerima kunjungan ini lagi di masa akan datang.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Azniza Binti Ahmad