PENERBIT UNISSA BRUNEI TERTARIK DENGAN APLIKASI TURNITIN DI PSB

Penerbit  Universiti Islam Sultan  Sharif Ali (UNISSA) Brunei telah mengadakan lawatan  muhibbah ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB)  pada 11 April 2019 yang lalu. Delegasi  ini telah disambut dan diiring oleh Cik Azniza Bt Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan dari Bahagian Penyelidikan dan Komunikasi Korporat, PSB pada jam 10.45 pagi.  Lawatan bermula dengan sesi penerangan ringkas berkenaan sejarah PSB, perkhidmatan dan kemudahan di PSB, Professor’s Corner dan Pameran Sasterawan Negara yang sedang berlangsung di Aras 2 Bangunan Utama, PSB. Seramai 6 orang telah menyertai lawatan ini yang diketuai oleh Puan Julia Bt Radin.

Fokus utama lawatan ini adalah  untuk  mempelajari teknik penggunaan  perisian “Turnitin” kerana sebagai penerbit di UNISSA, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan keaslian naskhah penulisan akademik  yang diterima sebelum diterbitkan demi untuk menjaga integriti dan imej organisasi. “Turnitin” adalah sebuah perisian yang  digunakan  untuk membantu penulis meningkatkan mutu penulisan  akademik seperti tesis, disertasi, atau kertas projek melalui kaedah  semakan persamaan (similarity cheking) dengan data teks yang ada di dalam pangkalan data tersebut.

Taklimat ringkas tersebut telah diadakan di Kaunter Information Desk  dan telah disampaikan oleh Cik Nor Allia Askandar, Pustakawan daripada Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat. Setelah selesai sesi taklimat, delegasi tersebut telah dibawa  melawat prasarana di sekitar Bangunan Tambahan PSB seperti  Academic Commons, Post Graduate Commons,  Makmal Komputer , Koleksi Umum di Aras  1 dan juga  Koleksi  Tesis  di  Aras  3.

Sebelum lawatan tamat, pihak  UNISSA  berharap  agar lawatan seperti ini dapat diteruskan lagi untuk tujuan perkongsian ilmu  dan bertukar pandangan dan mereka turut menjemput dan berbesar hati jika delegasi PSB  sudi  membuat lawatan balas ke Brunei di masa hadapan. Lawatan ini telah berakhir pada jam 12.00 tengahari.

 

Disediakan dan gambar oleh : Azniza Ahmad