Sintok – Ramadan Al Mubarak telah membuka tirainya. Setiap kali tibanya bulan Ramadan iaitu bulan yang penuh rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka ini, maka berlumba – lumbalah umat Islam menambah pahala dan mengambil peluang mengisi masa sebaik mungkin dengan mendengar tazkirah, ceramah atau kuliah agama seiring dengan keutamaan bulan ini.
Sehubungan itu, pada hari Rabu 8 Mei 2019 bersamaan 3 Ramadan 1440H, Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu ceramah bersiri Ramadan yang bertajuk “Beriman dengan perkara ghaib, pencetus kepada kemantapan iman “ bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB. Ceramah ini telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Mohd Nidzho Bin Abdul Rahman, Pensyarah dari Pusat Pengajian Bahasa , Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Antara kupasan ceramah beliau adalah mengenai syarat orang beriman mestilah wajib mempercayai perkara ghaib. Ghaib ialah perkara yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera dan difikirkan oleh akal manusia, ia hanya dapat diyakini melalui kekuatan iman dan taqwa kepada Allah. Menurutnya lagi, manusia yang bertakwa mempunyai 4 ciri utama iaitu perasaaan takut kepada Allah Rabbul Jalil, beriman dan beramal dengan apa yang diturunkan Allah, bersifat qanaah yakni merasa cukup dengan apa yang Allah beri dan berpada dengan apa yang ada serta senantiasa bersiap siaga menghadapi hari kematian.
Sementara itu, “hubungan perkara qhaib dengan ibadah puasa pula adalah tentang adanya dosa dan pahala. Dosa dan pahala sememangnya tidak nampak di mata tetapi ianya boleh dilihat oleh manifestasi iman” ujar beliau. Seterusnya Ustaz turut menyeru semua hadirin untuk memanfaatkan kesempatan Ramadan ini dengan melipat gandakan amal kebajikan . Tambah beliau lagi, kita berpotensi untuk menjana banyak pahala dengan melakukan perkara dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa seperti mengedarkan bungkusan kurma dan air mineral kepada warga kampus, keduanya dengan memperbanyakkan bersedekah kerana sabda Rasulullah S.A.W. amalan bersedekah yang paling besar pahalanya adalah pada bulan Ramadan dan yang ketiga adalah dengan melakukan amal soleh yakni dengan memperbanyakkan doa memohon keampunan kepada Allah kerana doa orang yang berpuasa pada bulan Ramadan sesungguhnya tidak akan ditolak oleh Allah. Selain itu, Ustaz juga berpesan supaya memanfaatkan setiap ruang dan kesempatan yang ada untuk melakukan kebajikan dengan meringankan tulang membantu orang terutama di masjid dan surau.
Di akhir ceramahnya, Ustaz berkata “tarbiah madrasah Ramadan adalah untuk melahirkan insan bertaqwa dan istiqamah. Untuk menjadi insan bertakwa, ia menuntut kita untuk melakukan yang terbaik sepanjang bulan mulia ini. Kerana itu, kita seharusnya mengambil peluang pada Ramadan kali ini dengan berazam bersungguh-sungguh untuk menjadikan ia sebagai yang terbaik untuk diri kita dengan melakukan segala amalan fardu dan sunat serta apa jua kebaikan seikhlas mungkin kerana Allah”. Tambah beliau lagi “paling penting, kita sudah tentu tidak mahu Ramadan yang datang ini akan berlalu begitu saja tanpa kita mengambil sebarang usaha untuk menjadikan diri kita lebih baik daripada Ramadan sebelumnya”.
Ceramah yang bermula pada pukul 11.20 pagi ini telah berakhir pada jam 12.30 tengahari dengan bacaan doa penutup oleh ustaz. Di akhir majlis, pihak penganjur mengumumkan bahawa sepanjang bulan Ramadan 1440H ini, ceramah agama seumpama ini akan diadakan sebanyak 4 siri pada setiap hari Rabu setiap minggu pada waktu dan lokasi yang sama di PSB. Semoga kehadiran semua hadirin ke majlis ilmu yang penuh berkat ini dapat memantapkan iman serta memotivasikan diri dalam menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan ini.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar oleh : Mohamad Fuzi Ismail