Satu Ceramah Ramadan Siri Ketiga yang dianjurkan oleh Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diadakan di Auditorium 2, Bangunan Tambahan, PSB pada 22 Mei 2019 yang lalu.
Ceramah ini bermula jam 10.30 pagi dan ianya membicarakan mengenai “Nuzul Al-Qur’an”. Ianya telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Bin Hj Rofie, pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUMCAS atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Khadafi.
Antara isi kandungan bicara kali ini ialah mengenai peristiwa awal penurunan ayat Al-Quran melalui Malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad (SAW) pada hari ke 17 Ramadan. Oleh yang demikian, umat islam di seluruh dunia mengenang dan menyambut hari tersebut dengan nama Nuzul Al-Qur’an. Peristiwa Nuzul Al-Qur’an merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Qur’an yang pertama kepada Muhammad hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.
Selain daripada itu, Ustaz Khadafi juga turut berpesan agar umat Islam sentiasa hidup berpandukan Al-Qur’an. Ini kerana di dalam Al-Qur’an, telah diberikan panduan dan ajaran yang jelas mengenai baik buruk sesuatu perkara itu dan Al-Qur’an juga adalah bersifat universal. Oleh itu, sekiranya seseorang muslim hidup berpandukan Al-Qur’an, maka hidupnya akan diredhai serta diberkati oleh Allah S.W.T. dan akan tentunya akan berjaya di dunia dan di akhirat.
Intipati-intipati bicara ramadan yang diberikan nyata meninggalkan bekas di hati setiap tetamu yang hadir kerana banyaknya manfaat jika hidup berlandaskan Al-Qur’an dan Sunnah seperti yang disampaikan oleh Ustaz Khadafi itu. Bicara Ramadan ini berakhir sekitar jam 11.40 pagi.
Disediakan oleh: Norashikin Ibrahim
Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail