30 Mei 2019 – Badan Kebajikan dan Amal Perpustakaan (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjurkan aktiviti gotong-royong menyediakan bubur lambuk secara tahunan. Tahun ini juga pihak ahli jawatankuasa BAKAL tidak melepaskan peluang untuk menyemarakkan lagi semangat Ramadan serta mengeratkan ukhuwah sesama staf PSB.
Seawal jam 8.00 pagi, semua staf yang terlibat telah berkumpul di kawasan ‘loading bay’ bagi membuat persiapan untuk memasak bubur lambuk. Kali ini aktiviti memasak bubur lambuk diketuai oleh Encik Azizan Aziz, Pembantu Perpustakaan Kanan serta dibantu oleh staf PSB. Aktiviti dimulai dengan penyediaan peralatan memasak dan bahan mentah. ‘Rewang’ bubur lambuk ini bukan sahaja membantu staf beriadah tetapi berukhuwah sesama mereka. Ini dapat meningkatkan semangat kerjasama dan kemesraan staf dalam sesebuah jabatan.
Terpancar kegembiraan di wajah-wajah mereka yang menjalankan aktiviti ini bersama-sama dan ianya turut diserikan lagi dengan kehadiran Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan bersama-sama membantu dalam penyediaan bubur lambuk. Aktiviti ini tamat pada jam 12.30 tengahari dan bubur tersebut telah diedarkan kepada semua staf PSB untuk dijadikan juadah berbuka puasa nanti.
Sekian.
Disediakan oleh: Hanie Azyyati Abdul Jamil
Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail