
Sintok – Setiap buku di perpustakaan mempunyai nombor panggilan yang unik. Nombor panggilan adalah seperti alamat rumah yang memberitahu di mana sesebuah buku ditempatkan di dalam koleksi perpustakaan.
Pada 31 julai 2019, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan satu taklimat perubahan polisi susunan buku mengikut kaedah baharu. Taklimat ini bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama PSB dan telah disampaikan oleh Puan Norma Binti Said iaitu Ketua Bahagian Teknik dan Pemerosesan Bahan dengan dibantu oleh Encik Ku Rosyidi Bin Ku Md Radzi, Pustakawan dari bahagian yang sama.
Taklimat ini diadakan adalah bertujuan untuk membuat hebahan kepada semua staf PSB dan justifikasi perubahan kaedah susunan lama yang mengutamakan sistem layer kepada nombor kelas seperti yang disyorkan oleh Garis Panduan Pengkelasan Library of Congress (LCC).
Menurut Puan Norma, semua buku klasifikasi LCC dikelaskan mengikut subjek supaya pengguna boleh mencari buku yang berkaitan di rak yang sama, atau berdekatan manakala susunan mengikut layer agak mengelirukan untuk pengguna membuat carian dan mendapatkan buku terutama kepada pelajar baharu. Oleh yang demikian, perubahan polisi penyusunan bahan ini adalah perlu diadakan bagi mengurangkan kekeliruan di samping keperluan mengikut garis panduan yang betul yang digunakan oleh perpustakaan akademik di seluruh dunia.
Seramai 68 orang peserta yang terdiri daripada Pustakawan dan Pembantu Pustakawan telah hadir mendengar taklimat ini. Untuk tujuan menguji kefahaman semua peserta tentang perubahan kaedah susunan dari layer kepada nombor kelas, 4 set ujian susunan buku telah dilakukan secara spontan menggunakan layar Auditorium.
Di akhir taklimat, Puan Asmaniza Mansor dari Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca memaklumkan bahawa projek susunan semula semua bahan koleksi umum mengikut polisi yang baharu akan melibatkan semua Pustakawan dan Pembantu Pustakawan PSB dan ianya akan dilaksanakan bermula dari 5 hingga 8 Ogos 2018 ini. Beliau juga turut memohon supaya semua staf yang terlibat dapat memberi kerjasama yang baik supaya semua bahan dapat disusun semula sebelum semester baharu bermula.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Noraini Alias