17 WAKIL UNIVERSITI SELATAN THAILAND TINJAU PELUANG KOLABORASI DENGAN PSB

Seramai 78 orang delegasi yang terdiri daripada staf perpustakaan, pustakawan dan pegawai dari Academic Resources and Information Technology (ARIT), Songkhla Rajabhat University (SRU), Thailand telah mengadakan kunjungan ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 25 Mac 2014 . Lawatan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Aumnat Tongkaw, Pengarah ARIT SRU ini turut disertai oleh 16 orang Pengarah ARIT dari pelbagai universiti di selatan Thailand seperti Rajabhat Rajanagarinda University, Phuket Rajabhat University dan lain-lain universiti lagi.

Delegasi lawatan ini telah disambut oleh Muhamad Mazlan Jalla, Ketua Penolong Pustakawan berserta 10 orang pegawai dari PSB. Seterusnya para delegasi diberi taklimat ringkas mengenai PSB yang meliputi aspek sejarah, perkembangan dan perubahan secara fizikal dan koleksi, perkhidmatan dan kemudahan yang telah disediakan serta pencapaian sepanjang penubuhan PSB. Setelah selesai sesi soal jawab para delegasi dibawa melawat bahagian-bahagian di PSB sementara para pengarah ARIT meneruskan perbincangan bersama Encik Muhamad Mazlan Jalla dan Encik Mohd Nor Ahmad berhubung dengan peluang-peluang untuk menjalinkan kerjasama.

Menurut Pengarah ARIT, Prof. Madya Dr. Aumnat Tongkaw, pihaknya memilih Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia umumnya kerana lokasinya yang terletak tidak jauh daripada sempadan Thailand malah mempunyai reputasi yang baik serta memiliki koleksi bahan yang besar dan berkualiti khusus dalam bidang pengurusan.

Katanya, kunjungan ini bukan sekadar ingin melihat proses dan prosedur kerja PSB atau berkongsi pengetahuan di antara staf PSB dan ARIT sahaja tetapi juga berhasrat mewujudkan satu jaringan perhubungan dua hala yang erat di antara PSB dan ARIT pada masa akan datang.

Tambahnya, pra perbincangan MoU ini bertujuan membincangkan mengenai perkongsian maklumat dan koleksi bahan perpustakaan, penganjuran seminar, program mobiliti staf dan juga penempatan praktikum daripada universiti-universiti di selatan Thailand.

Beliau turut melahirkan rasa gembira terhadap sambutan baik PSB dalam menyahut hasrat delegasi daripada ARIT untuk berkolaborasi dalam beberapa perkara yang dapat memberikan faedah bersama.

Sementara itu, Ketua Penolong Pustakawan, Encik Muhamad Mazlan Jalla, berharap kerjasama ini dapat menghubungkan staf khususnya pustakawan daripada dua buah institusi iaitu PSB dan ARIT terutamanya dalam pertukaran idea, perkongsian pengetahuan demi kemajuan dan penambahbaikan berterusan di jabatan masing-masing.

Oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim | Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail