SAMBUTAN MENGGALAKKAN HARI BERSAMA PELANGGAN PSB 2015 BUKTI KEKUKUHAN HUBUNGAN

Hari Bersama Pelanggan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) 2015 yang telah berlangsung sepanjang tempoh 22 Mac – 26 Mac 2015 yang lalu mencerminkan hubungan yang erat antara PSB bersama pelanggannya.

Sambutan ini bertujuan mengeratkan silaturrahim serta mengukuhkan hubungan. Sambutan ini dimeriahkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti serta pertandingan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah, Pertandingan Mewarna, Library Info Hunt Contest, Pertandingan Spell-It-Right, Pertandingan Bercerita, dan Library Quiz.

Pertandingan Mewarna adalah khusus untuk kategori kanak-kanak sahaja. Terdapat dua buah tadika turut terlibat iaitu Tadika Ikhtiar Pintar dan Tadika Intan Shafinaz. Seramai 31 orang pelajar telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Pertandingan ini bukan sahaja dapat mencungkil bakat seni kanak-kanak terbabit tetapi dapat jugamengeratkan silaturrahim di antara pelajar dan guru. Bukan itu sahaja, ianya juga mampu menambah ilmu pengetahuan mereka mengenai teknik mewarna serta dapat menaikkan semangat dan motivasi mereka.

PSB turut menganjurkan Library Info Hunt yang berkonsepkan perlumbaan dalam mencari maklumat di sekitar PSB. Acara ini telah melibatkan seramai 40 orang pelajar daripada program ASASI UUM yang telah dibahagikan kepada 8 kumpulan. Objektif aktiviti ini adalah untuk melatih serta memberi pendedahan berkenaan carian maklumat di PSB kepada semua peserta di samping secara tidak langsung dapat memupuk semangat kerjasama antara pasukan sesama mereka.

Sepanjang tempoh berlangsungnya Hari Bersama Pelanggan PSB 2015, terdapat pelbagai lagi acara-acara lain yang dipertandingkan di mana ia dapat menghimpunkan pelajar dari pelbagai sekolah terutamanya di dalam Pertandingan Spell-It-Right. Pertandingan ini telah melibatkan seramai 33 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Seberang Ketil, Baling. Acara ini bertujuan menguji pengetahuan serta kemahiran berbahasa Inggeris pelajar-pelajar tersebut. Selain itu, sambutan turut dimeriahkan juga dengan Pertandingan Bercerita yang melibatkan dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Asam Jawa dan Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri, Baling. Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu tahap satu dan tahap dua dan setiap kategori mempunya iseramai 6 peserta. Selain itu, PSB juga turut menganjurkan Library Quiz yang telah berlangsung selama 4 hari. Tiga pemenang dicari setiap hari dan hadiah hanya diberi kepada pemenang pada hari terakhir program iaitu pada 26 Mac.

Tidak terhad kepada pertandingan sahaja, malah PSB turut menganjurkan bengkel berilmiah yang dibuka kepada semua warga UUM seperti Bengkel Training on Web of Science by Thomson Reuters dan Bengkel Mendeley Reference Manager. Sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan terutama daripada golongan pensyarah dan pelajar pasca siswazah. Kedua-dua bengkel ini bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan pengguna PSB dan membantu mereka dalam membuat tugasan dan penyelidikan.

Sambutan Hari Pelanggan PSB 2015, telah menutup tirainya pada 26 Mac 2015 dengan mengukir seribu kenangan dan pengalaman kepada semua yang terlibat serta aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala di antara PSB dan pelanggan tetapi juga banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat.