HAYATI SEJARAH PERJUANGAN NEGARA MENERUSI PAMERAN KEMERDEKAAN PSB

Bagi memperingati hari penuh bersejarah negara, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) turut tidak ketinggalan dalam menyemarakkan lagi semangat warga kampus dengan suasana sambutan kemerdekaan melalui penganjuran Pameran Kemerdekaan yang bertempat di Paras 2, Bangunan Utama, PSB. Pameran anjuran PSB dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Arkib Negara Malaysia, Cawangan Negeri Kedah/Perlis ini telahpun berlangsung pada 7 September 2015 yang lalu dan akan berakhir pada 17 September 2015.

Objektif utama pameran ini diadakan adalah untuk memberi maklumat tentang sejarah Malaysia khususnya bermula pada detik kebangkitan, pra kemerdekaan serta era perkembangan nasionalisme sehinggalah saat kemerdekaan dicapai. Fakta-fakta dan teks sejarah ini juga menjadi lebih menarik dengan dihiasi gambar tokoh-tokoh pejuang dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di sepanjang perjalanan meniti kemerdekaan. Ini bukan sahaja membolehkan pembaca memahami mengenai kemerdekaan malah dapat menghayati serta melihat imbasan detik-detik bersejarah tersebut.

Kandungan pameran ini turut diselitkan dengan beberapa petikan mutiara kata oleh para pemimpin negara. Selain itu, pengguna perpustakaan juga berpeluang membaca buku-buku mengenai sejarah kemerdekaan yang turut dipamerkan di lokasi pameran.

Disediakan oleh : Isanuddin Bidin | Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail