Kehadiran auditor Audit Anugerah Kecemerlangan UUM sesi 2014/2015 pada 17 November 2015 yang lalu telah disambut mesra oleh Jabatan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Audit bermula pada jam 2.30 hingga 5.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat Ketua Pustakawan, Paras 3 itu dinilai oleh Puan Faizah Hashim dan Puan Suhailawati Shamsudin selaku juruaudit.
Audit Anugerah Kecemerlangan UUM ini dijalankan adalah bertujuan untuk menggalakkan usaha penambahbaikan berterusan dalam kalangan semua pusat pengajian, pusat tanggungjawab dan pusat/institut kecemerlangan ke arah meningkatkan keberkesanan prestasi dalam aspek pengurusan pentadbiran ‘core business’ masing-masing.
Sepanjang sesi audit berlangsung, penilaian dibuat melalui rujukan dan semakan dokumentasi, pemantauan persekitaran serta sesi temubual bersama staf dan pelanggan di mana ia merupakan salah satu syarat ataupun keperluan di dalam proses pengauditan ini. Semua staf serta pelanggan yang terlibat turut memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap PSB. Secara keseluruhannya, pemarkahan diberi berdasarkan respon secara langsung daripada pelanggan, pemahaman dan peranan staf dalam membantu jabatan mencapai misi dan visi jabatan menerusi tugas-tugas yang dilaksanakan serta pengiktirafan dan kejayaan yang telah diperolehi oleh jabatan sepanjang tempoh dinilai.
Akhir kata, Audit Anugerah Kecemerlangan ini bakal memberi nilai positif kepada PSB dalam mencapai kecemerlangan menerusi perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan sekaligus membantu merealisasikan visi UUM iaitu ‘Menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka’.