KREATIVITI G-HARD MENCURI HATI JURI UNTUK BERGELAR JUARA KIK 4

Kreativiti Kumpulan G-Hard dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah melayakkan mereka merangkul gelaran juara Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) 2016 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM pada 18 Febuari 2016.

Kumpulan G-Hard yang dianggotai tujuh ahli termasuk seorang fasilitator berjaya menewaskan sembilan pasukan lain yang mewakili Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing bagi merebut gelaran juara dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,000, piala pusingan dan sijil penghargaan pada majlis penutupan petang semalam.

Ketua kumpulan, Norhardi Saad berkata, mereka yang mengetengahkan tajuk ‘Kelewatan Mengaktifkan ID Pelajar Baharu di Perpustakaan Sultanah Bahiyah’ tidak sangka akan bergelar juara pada Mini Konvensyen KIK tahun ini.

“Selama sebulan kami dikuarantin semata-mata ingin menjana idea dalam penyelesaian masalah yang dihadapi oleh staf PSB ketika mengaktifkan kad pelajar di PSB.

“Kami juga tidak menduga dengan tajuk yang dibawa tidak kelihatan gah, berjaya menambat hati juri,” katanya.

Norhardi berkata, pihaknya sering menghadapi masalah untuk mengaktifkan ID pelajar memandangkan ia mengambil masa yang lama sehingga mencecah selama tiga hari.

Katanya, sebelum ini mereka terpaksa mengaktifkan kad pelajar dengan menggunakan kaedah manual yang mana staf perlu mengambil data pelajar secara terlebih dahulu dan mengadakan bengkel bersama pelajar baharu.

“Hal ini menyebabkan kelewatan dan banyak membuang masa yang mana sepatutnya tempoh untuk mengaktifkan ID tersebut hanya mengambil masa selama 30 saat setiap orang dan semua urusan dapat disiapkan sekurang-kurangnya dalam tempoh sehari sahaja.

“Kini, masa dan tenaga dapat dijimatkan dan masalah kelewatan terutama membabitkan pelajar baharu pada sesi kemasukan bulan September dan Februari sudah dapat diatasi dengan menggunakan sistem yang lebih efektif,” ujarnya.

Bakal mewakili UUM ke peringkat kebangsaan, Norhardi berkata, sebagai persediaan pasukannya akan memperbaiki kekurangan yang terdapat dalam projek tersebut sehingga mencapai kriteria yang ditetapkan.

Majlis penutup Mini Konvensyen KIK telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Noor Azizi Ismail dan hadir sama Pengarah IPQ, Prof Madya Dr Haim Hilman Abdullah.

Prof Dr Noor Azizi berkata, amalan inovasi dan kreativiti bukan sahaja mampu menggalakkan daya saing sesebuah organisasi, malah memberi nilai tambah untuk terus bersaing dalam menuju kejayaan dan kemajuan.

Ujar beliau, dalam Islam sendiri mementingkan kreativiti dan inovasi untuk menghasilkan perbezaan yang mampu memberi nilai tambah yang tinggi demi kecemerlangan perkhidmatan yang disampaikan.

“Saya berharap semua kumpulan dapat menggunakan platform ini untuk mendalami ilmu baharu tentang inovasi dan kreativiti serta bergerak dalam satu kumpulan ke arah menyokong hasrat murni organisasi,” katanya.

Tempat kedua Mini Konvensyen KIK 4 telah dimenangi Kumpulan Aura dari IPQ yang menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM1,500 berserta sijil, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Energetic juga dari IPQ yang menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM1,000 dan sijil.

Anugerah Terbaik bagi kategori Fasilitator dan Inovasi diungguli oleh Kumpulan Energetic dan kategori Persembahan dimenangi oleh Kumpulan Aura.

Mini Konvensyen KIK 2016 merupakan anjuran kali keempat oleh IPQ bertujuan menggalakkan budaya inovatif dan kreatif serta memberi peluang kepada warga UUM untuk menggilap kebolehan dan kompetensi diri.

Setiap pasukan telah dinilai oleh juri-juri KIK dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Wilayah Utara dan Institut Tadbiran Negara (INTAN), Kampus Wilayah Utara.

Pada majlis itu juga turut disampaikan anugerah bagi Penilaian Amalan Berkualiti 5S 2015 yang dijuarai oleh DPP Yayasan Al-Bukhary (Kategori DPP), Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (Kategori Pusat Pengajian), Pusat Ko-kurikulum (Kategori Jabatan B) dan UUM Press (Kategori Jabatan A).