16 Januari 2020 – Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjurkan satu aktiviti riadah ke Tasik Sintok Universiti Utara Malaysia (UUM) tempoh hari.
Program Kembara@Hidden Lake ini adalah bertujuan untuk menjemput semua warga PSB menerokai serta menikmati keindahan Tasik Sintok yang juga dikenali sebagai Tasik Tersembunyi yang ada di bumi Sintok ini.
Bertempat di Tapak Ekspo iaitu berhadapan Pusat Kesihatan Universiti (PKU), kesemua peserta diminta berkumpul untuk sesi taklimat ringkas dan sesi memanaskan badan. Sebungkus roti beserta air mineral juga turut dibekalkan oleh urusetia untuk bekalan tenaga ketika sesi jelajah nanti. Usai sesi memanaskan badan, peserta program bergerak ke tasik sekitar jam 8.45 pagi dan tiba pada jam 9.20 pagi.
Menunggu kami di sana adalah seorang bekas staf UUM iaitu En. Azhari Shafie yang sememangnya amat pakar dengan selok-belok hutan. Beliau hadir adalah untuk berkongsi ilmu pengetahuan mengenai ikhtiar hidup ketika berada di dalam hutan. Menurut beliau, persiapan yang lengkap adalah amat penting jika ingin memasuki hutan. Peralatan seperti pemetik api, kompas, bekalan air, perkakasan solat, pisau kecil serbaguna, tali dan beberapa alatan lain lagi adalah merupakan peralatan asas yang perlu disediakan.
Selain itu juga, para peserta program ini turut diberi tugasan berkumpulan oleh En. Azhari bagi menguji tahap pengetahuan asas sewaktu berada di dalam hutan. Peserta telah diminta untuk menyediakan tempat penyulingan air dan tali. Hanya botol air dan pisau kecil sahaja yang diberi dan dengan kreativiti dan ilmu yang ada para peserta perlu menggunakan segala sumber yang ada bagi menyiapkan tugasan tersebut. Di akhir tugasan, kelihatan kesemua peserta berjaya menyiapkan tugasan namun air sulingan yang dihasilkan adalah masih belum selamat untuk diminum. Tambah beliau, proses sulingan yang terbaik adalah mempunyai 7 lapisan yang terdiri daripada batu kecil, batu kerikil, arang, rumput, kapas dan beberapa bahan lagi yang boleh didapati di kawasan sekitar. Setelah itu, para peserta turut diberi peluang untuk menikmati pemandangan tasik di samping bergambar beramai-ramai dan juga bersama rakan karib masing-masing sebelum bergerak semula ke Tapak Ekspo.
Usai makan tengahari, peserta yang berminat untuk aktiviti ‘flying fox’ diminta untuk terus ke tempat tersebut dan berkumpul di sana. Sesampainya di sana, sedikit taklimat ringkas telah diberikan oleh pegawai yang bertugas sebelum aktiviti dimulakan. Rata-rata peserta yang terlibat berasa cukup teruja dan gembira dapat mencabar diri melakukan aksi ‘flying fox’ ini. Bagi mereka, pengalaman sebegini jarang untuk dirasai dan mereka amat berterima kasih kepada pihak penganjur iaitu BAKAL kerana telah membuka peluang sebegini.
Aktiviti ini tamat sekitar jam 12.30 tengahari.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail