WARGA PSB REHATKAN MINDA DI SURAU BATU SUNGAI

SintokMemanfaatkan kesempatan cuti semester  sesi pertama 2019/2020,  Kelab Kebajikan dan Amal Perpustakaan Sultanah Bahiyah (BAKAL) telah mengadakan satu aktiviti riadah santai  bertempat di Surau Batu Sungai, Bukit Kachi  pada 06  Februari 2020 bermula seawal jam 8.00 pagi  hingga 12.00 tengahari yang lalu.  Seramai lebih kurang 50 orang  staf PSB yang berkelapangan telah menyertai dan memeriahkan  aktiviti tersebut. Aktiviti ini telah diketuai oleh Encik Ku Rosyidi Ku Md Razi selaku Pengerusi BAKAL dengan dibantu oleh barisan Ahli Jawatankuasa (AJK)  yang lain yang telah berusaha merealisasikan aktiviti ini.

Objektif utama program ini adalah untuk merehatkan minda serta mengeratkan silaturahim di kalangan staf pelbagai bahagian di PSB serta memastikan staf sentiasa dalam keadaan sihat, cerdas dan ceria. Aktiviti riadah sebegini adalah amat penting kerana lazimnya staf PSB  sentiasa sibuk dengan tugasan syif, rutin bertugas kaunter serta bebanan tugas seharian di pejabat masing masing. Oleh itu, program santai sebegini sesuai untuk menghilangkan tekanan kerja di samping dapat memupuk semangat cintai alam sekitar yang terletak di pinggir kampus Universiti Utara Malaysia (UUM).

Surau Batu Sungai dipilih sebagai lokasi riadah adalah kerana warga PSB ingin melihat sendiri keunikan surau yang dibangunkan dengan hanya menggunakan 12,000 ketulan batu sungai sahaja sambil merasai kenyamanan udara segar dan menikmati bunyian kicauan burung dan unggas di hutan.  Aktiviti riadah ini dimulakan dengan semua peserta berkumpul di perkarangan Bangunan Tambahan  PSB seawal jam 8.00 pagi dan mula bergerak ke lokasi secara konvoi sama ada mengayuh basikal, bermotorsikal atau berkereta ke sana. Setelah semua selamat sampai, acara gotong-royong menyediakan juadah makanan tengahari telah dilakukan dengan kerjasama semua peserta. Pelbagai menu telah disediakan antaranya adalah ikan bakar, gulai ayam, kerabu mangga dan sambal belacan.

Aktiviti ini bertambah meriah dengan senda gurau, usik mengusik sesama rakan setugas dan saling bertukar-tukar idea tentang cara yang betul memasak di tempat terbuka dengan peralatan yang minimum. Malah, ada juga yang mengambil kesempatan merasai kedinginan air sungai dengan merendamkan diri seketika dan ada juga sebahagian staf yang lain bergotong-royong bersama jabatan lain yang turut beriadah di situ mengangkat dan menyusun batu untuk dijadikan tempat berehat di tebing sungai.

Turut hadir dan menyertai  aktiviti ini  ialah Encik Razak Siamin , Timbalan Ketua Pustakawan  dan Encik Saarif Rosli Saarif Ahmad, Pegawai Tadbir Kanan PSB. Acara ini  selesai sekitar jam 12.00 tengahari dengan semua peserta menjamu selera  jamuan makan tengahari hasil masakan gotong – royong tadi.

 

Disediakan oleh : Azniza Ahmad

Gambar : Mohamad Fuzi Ismail dan Zaiton M. Kunhali