ADOBE PHOTOSHOP BUKA RUANG KREATIVITI STAF

2 Jun 2020 – Unit Latihan Dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjurkan satu latihan dalaman kepada staf yang bertajuk “Pengenalan Kepada Adobe Photoshop”. Bengkel ini telah diadakan bertempat di Makmal 2, Bangunan Tambahan PSB bermula jam 8.30 pagi.

Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan asas mengenai perisian “Adobe Photoshop”. Bengkel ini telah disampaikan oleh Encik Zaihasrim Mohd Dawal, Pembantu Pustakawan dari Unit Laman Web (User Experience Service). Beliau dijemput khas untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran beliau mengenai tatacara mengendalikan perisian ini bersama rakan-rakan sejawat yang lain.

Umum mengetahui bahawa “Adobe Photoshop” adalah sebuah program aplikasi mereka bentuk (design) yang berguna untuk menghasilkan pelbagai gambar, poster, mengolah foto digital, mengedit imej grafik dan lain-lain lagi kegunaannya yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan promosi atau pemasaran. Oleh yang demikian, bengkel ini telah memberi pendedahan kepada fungsi-fungsi asas perisian tersebut seperti pengenalan kepada fungsi layer, quick selection tool, lasso tool dan lain-lain yang biasanya digunakan untuk menghasilkan sebuah imej menarik seperti poster dan sebagainya.

Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 10 orang peserta. Di hujung bengkel, kesemua peserta telah diberi tugasan untuk menghasilkan poster dengan menggunakan kaedah-kaedah yang telah diberi tunjuk ajar. Pelbagai hasil poster yang begitu menarik dan kreatif telah berjaya dihasilkan oleh para peserta. Secara keseluruhannya bengkel ini telah berjaya mencapai objektifnya. Kesemua hasil kerja berikut perlu dihantar kepada fasilitator bagi tujuan laporan kepada Ketua Pustakawan.

Semoga dengan adanya bengkel sebegini ianya mampu mencungkil bakat terpendam para peserta untuk mengekspresikan nilai-nilai kreatif mereka ke kanvas digital. Bengkel ini berakhir sekitar jam 4.30 petang.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Unit Latihan dan Kualiti & Abdul Hadi Mat Taib