PSB Online: Sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 oleh YAB Perdana Menteri pada 28 Julai lalu, pihak Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi menyarankan agar semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengadakan Kempen Kibar Jalur Gemilang di setiap institusi masing-masing.
Bagi kempen ini, semua IPT disyorkan untuk menaikkan Jalur Gemilang di kampus masing-masing, serentak dengan jabatan dan agensi-agensi kerajaan di seluruh negara. Oleh yang demikian, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) juga tidak ketinggalan menyahut seruan tersebut. Jika melangkah masuk ke ruang hadapan PSB, dapat dilihat Jalur Gemilang berkibar dengan megahnya tanda kebanggaan dan kehormatan tertinggi rakyat Malaysia kepada negara. Selain itu juga, di sebalik setiap kibaran Jalur Gemilang itu pula, terkandung seribu satu pengertian dan sejarah kemerdekaan negara kita yang tercinta ini.
Tidak terhad di pintu masuk sahaja, malah segenap sudut di bangunan PSB juga turut dihias cantik dengan bendera Malaysia tanda semangat dan kecintaan terhadap tanah air. Ianya juga turut memberi nilai tambah kepada kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan. Di samping itu, PSB juga turut mengadakan aktiviti kemerdekaan seperti menjalankan pameran yang bertemakan “Malaysia Prihatin”. Pameran ini bakal memaparkan kesan-kesan penjajahan ke atas negara Malaysia dan ianya bakal berlangsung pada 15 Ogos 2020 nanti.
Selain itu juga, semua warga PSB turut diseru untuk menggunakan imej kemerdekaan sebagai latar belakang komputer masing-masing dalam usaha meningkatkan semangat kemerdekaan. Usaha yang dilakukan ini adalah sesuatu yang sangat baik kerana ianya bukan sahaja untuk menampakkan kemeriahan, namun ianya juga adalah tanda kecintaan dan kesyukuran atas kejayaan dan usaha pejuang-pejuang negara menuntut kemerdekaan daripada penjajah suatu masa dahulu sehingga generasi pasca merdeka kini bebas menjalani kehidupan yang aman.
Tatkala negara dilanda wabak pandemik Covid-19, penganjuran aktiviti kemerdekaan juga dijangka akan menjadi terhad, namun semangat yang ditonjolkan oleh kesemua warga UUM masih tidak luntur dan itu adalah sesuatu yang baik buat negara sebagai langkah untuk mengekalkan perpaduan sesama rakyat. Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia tarikh, bulan serta peristiwa negara seperti ini haruslah sentiasa diperingati agar sejarah negara tidak luput ditelan zaman.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Unit Perkhidmatan Pelanggan