PSB Online: Menyemarakkan sambutan kemerdekaan yang disambut setiap 31 Ogos, Program Ceria Merdeka PSB 2020 adalah anjuran Bahagian Khidmat Pengurusan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang memuatkan 3 program utama iaitu Ceramah kemerdekaan bertajuk Darurat di Tanah Melayu, program berbentuk rekreasi dan kesihatan iaitu Kayuhan Merdeka dan juga Aerobik Merdeka.
Ceramah kemerdekaan telah diadakan pada 9 September 2020 yang lalu di mana ianya telah disiarkan secara langsung melalui saluran Facebook (FB) Live PSB. Menampilkan Dr. Mohd Kasri Saidon sebagai penceramah jemputan membicarakan sepintas lalu mengenai penglibatan rakyat dalam aspek keselamatan di Kedah. Sedikit mengenai intipati ceramah, darurat yang tercetus pada tahun 1948 sehingga 1960 adalah angkara serangan Parti Komunis Malaya (PKM). Menyingkap peranan rakyat Kedah dalam mempertahankan negeri Kedah seawal kekalahan Jepun dek cubaan PKM menguasai Alor Setar dan beberapa balai polis. Beliau menyimpulkan bahawa rakyat khususnya orang Melayu begitu kasih kepada tanah air dan bangun menyertai pasukan sokongan keselamatan dan diakui sangat berani kerana mereka hanya dibekalkan dengan senjata yang asas sahaja. Penglibatan British dengan menggerakkan rakyat bagi mempertahankan tanah air adalah suatu tindakan yang bijak. Tambah beliau lagi, jika British bertindak awal sebegini semasa Perang Dunia Kedua, kemungkinan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun dengan begitu cepat dapat dielakkan. Walaubagaimanapun, semuanya telah pun menjadi sejarah dan kita seharusnya bersyukur atas nikmat kemerdekaan ini. Sepanjang ceramah berlangsung, para penonton juga disajikan dengan imej-imej yang dirakam ketika tempoh darurat serangan PKM terdahulu.
Pada tarikh 10 September 2020 pula, telah diadakan 2 program berbentuk kecerdasan fizikal secara serentak iaitu Kayuhan Merdeka dan Aerobik Merdeka. Melibatkan hanya staf lelaki PSB sahaja program Kayuhan Merdeka telah menyaksikan kayuhan sekitar kampus dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Kayuhan yang bermula dan berakhir di perkarangan PSB ini adalah simbolik kepada rasa cintakan kemerdekaan dan kebebasan yang dimiliki sejak 63 tahun yang dulu. Menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan, tidak dilupakan juga kepada staf wanita PSB di mana turut diadakan program Aerobik Merdeka yang telah berlangsung di Ruangan Foyer Bangunan Tambahan, PSB. Sebelum aktiviti ini dimulakan, kesemua peserta aerobik turut mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat kemerdekaan.
Walaupun berlangsung dengan kadar sederhana di mana keterbatasan norma baharu akibat pandemic wabak Covid-19, namun sambutan dan kerjasama dalam menjayakan program ini adalah tinggi dan ianya dirasai di kalangan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) khasnya warga PSB.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Unit Arkib Media & Noraini Alias