CERAMAH “RECYCLE FOR LIFE” BANTU WARGA PSB FAHAMI KEPENTINGAN AMALAN KITAR SEMULA

PSB Online: Satu ceramah bertajuk “Recycle for Life” yang telah disampaikan oleh En. Mohd Zabidi bin Romli (Eksekutif Komunikasi Korporat) dari Kumpulan Syarikat E-Idaman telah berjaya dianjurkan pada 14 September 2020 yang lalu oleh Jawatankuasa 5S, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama, PSB. Ceramah bermula pada jam 10.00 pagi ini turut disiarkan secara atas talian melalui platform Facebook Live PSB.

Recycle for Life dengan tanda pagar #trashforcash adalah program kitar semula yang memberikan ganjaran nilai tunai malalui kad pintar RFL atau e-kad RFL di bawah perhatian Bank Negara Malaysia (BNM). Kad pintar RFL atau e-kad RFL boleh digunapakai di rangkaian niaga yang terpilih. Menurut En. Mohd Zabidi, semua pengguna telefon pintar boleh memuat turun aplikasi tersebut di Google Play Store bagi pengguna android ataupun Apple Apps Store bagi pengguna Iphone.

Berkongsi mengenai barangan yang boleh dikitar semula, En. Mohd Zabidi berkata “terdapat banyak barang antaranya ialah kertas seperti kotak, surat khabar lama, kertas hitam putih, dan kertas campur. Barangan plastik pula adalah seperti plastik campur, bahan jenis PET (Polyethylene terephthalate), HDPE (High-density polyethylene), PP (Polypropylene), dan LDPE (Low-density polyethylene) dan lain-lain barangan seperti aluminium, tin, besi, fabrik dan minyak masak terpakai”.

Oleh yang demikian, beliau turut menyeru semua warga Universiti Utara Malaysia (UUM) khasnya warga PSB untuk membantu menyelamatkan bumi dengan menjadikan amalan kitar semula sebagai satu kewajipan. Beliau juga turut berpesan kepada golongan wanita khususnya surirumah untuk tidak terus membuang lebihan minyak terpakai ke dalam longkang, sebaliknya mereka diseru untuk mengumpul lebihan minyak terpakai tersebut untuk dikitar semula dengan harga yang agak lumayan iaitu sekitar RM1.00 perkilogram. Tindakan ini bukan sahaja menguntungkan malah ianya dapat menyelamatkan bumi dan alam sekitar daripada tercemar.

Di akhir ceramah, En. Mohd Zabidi, turut menyampaikan pesanan kepada semua agar sampah yang boleh dikitar semula dapat diselamatkan daripada masuk ke dalam tapak pelupusan sampah. Aktiviti penjualan barangan terpakai turut diadakan di ruangan pemunggahan PSB seusai ceramah diberikan. Pelbagai barangan terpakai turut dibawa oleh warga PSB untuk tujuan tersebut.

Semoga dengan segala input yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan ianya dapat memberi kefahaman dan semangat baharu untuk membudayakan amalan kitar semula demi kesejahteraan bumi tercinta.