PSB Online – Melihat kepada trend peningkatan penularan wabak COVID-19 yang tinggi di tempat kerja, terutama di sektor perkilangan di Malaysia, maka pada 24 November 2020 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima satu lawatan pemeriksaan dan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di tempat kerja. Pasukan pemantauan yang hadir terdiri daripada Dr. Adi Azhar Bin Abdul Razak , Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Encik Othman B. Puteh, Pembantu Keselamatan dari Jabatan Keselamatan UUM.
Operasi pemantauan secara mengejut ini telah dilakukan ke atas semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) utama yang berada di UUM bagi memastikan pelaksanaan dan kepatuhan SOP COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi. PSB adalah salah satu PTJ utama yang harus dibuat pemantauan kerana PTJ ini mempunyai bilangan kakitangan yang ramai dan juga menjadi tempat tumpuan kakitangan akademik dan pelajar. Umumnya, PSB menjadi sebuah tempat yang sering dikunjungi dan berkumpul untuk mendapatkan perkhidmatan dalam satu masa yang sama dan ianya menjadikan PSB sebuah tempat yang agak ramai pengunjung terutama pada waktu puncak . Lawatan ini telah diiringi Puan Norma Said, Penolong Ketua Pustakawan Bahagian Khidmat Pengurusan , Encik Ku Rosyidi Ku Md Razi, Pustakawan Kanan dari Unit Latihan dan Kualiti dan juga Encik Izhar Hj. Hashim , Pembantu Pustakawan dari Unit yang sama.
Lawatan pemeriksaan bermula di Bilik Mesyuarat di Unit Pentadbiran di Bangunan Utama PSB dan seterusnya menuju ke Bangunan Tambahan PSB untuk tinjauan yang lebih teliti . Ini kerana hanya fasiliti di Bangunan Tambahan PSB sahaja yang boleh dibuka kepada pengguna. Antara lokasi tumpuan pemantauan yang diperiksa mengenai SOP pengamalan norma baharu ialah Kaunter Khidmat Pelanggan, ruang bacaan umum dan juga surau perempuan.
Hasil dari pemantauan singkat yang telah dibuat, Dr. Adi telah membuat beberapa teguran lisan seperti teguran mengenai ada segelintir pelajar tidak memakai face mask semasa berada di dalam perpustakaan, tiada penempatan hand sanitizer diletakkan di bahagian luar pintu masuk bilik mesyuarat atau luar pintu pejabat , tiada label penjarakkan fizikal di dalam Bilik Mesyuarat Paras 3, dan terdapat tanaman pokok hidup menggunakan air di Bangunan Tambahan. Tanaman pokok hidup adalah tidak digalakkan kerana ianya mampu mengundang risiko penyakit yang lain seandainya tidak dijaga dengan baik. Kesemua teguran berkenaan akan diambil tindakan sewajarnya oleh semua Ketua Unit berkaitan.
PSB amat menghargai dan berterima kasih akan lawatan pemantauan berkenaan dalam memastikan langkah-langkah keselamatan dan pematuhan SOP dipraktikkan di PSB. Semua teguran berkenaan sedikit sebanyak membantu pihak perpustakaan untuk lebih peka dalam mengambil langkah proaktif untuk memastikan amalan norma baharu ini dipenuhi dan dipatuhi. Penjagaan kebersihan di perpustakaan juga perlu dipantau agar dapat meminimakan risiko penularan virus COVID-19 dalam kalangan pengguna dan kakitangan sepanjang berada di perpustakaan.
Lawatan yang bermula jam 12.00 tengahari ini berakhir sekitar jam 12.45 tengahari.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar oleh : Izhar Hj. Hashim