PSB Online [Berita Muzium] – Orangnya masih tegap, penglihatannya masih baik dan tidak mengidap sebarang jenis penyakit kronik walaupun sudah berusia hampir satu abad. Mat Isa Sudin, 97 berbangga dapat menyumbang perahu sagor yang jarang dapat dilihat di zaman kini kepada Muzium Pengurusan UUM untuk tatapan generasi hadapan.
Mesra disapa sebagai Pak Cha, beliau adalah bekas pekerja Istana Anak Bukit yang berpeluang berkhidmat dengan tiga generasi Sultan Kedah sejak pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Syah sehingga Sultan Abdul Halim Muazzam Syah. Menurut Pak Cha, perahu yang diserahkan oleh seorang kawannya itu ketika zaman perang dunia kedua sudah berusia 100 tahun dan diperbuat dari kayu pokok bongor. Perahu tersebut menjadi pengangkutan utama penduduk kampung suatu ketika dahulu sebagai alat membawa penumpang, menangkap ikan dan sebagainya.
Pak Cha juga menaruh harapan dalam temuramah bersama Pengarah Muzium UUM iaitu Dr Kasri Saidon agar perahu kesayangannya dapat dipulihara dengan baik untuk tatapan pengunjung Muzium dalam pameran yang akan datang, ujar beliau sewaktu hari penyerahan pada 1 Disember 2020 yang lalu.
Sememangnya, dengan penyerahan ini ianya mampu menjadi tarikan terkini buat semua pengunjung muzium. Sama-sama kita saksikan perahu warisan Pak Cha di pameran akan datang yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Disediakan dan gambar oleh: Muzium Pengurusan UUM