STAF PSB SERONOK BELAJAR BAHASA INGGERIS SECARA ATAS TALIAN

PSB Online – Bagi meningkatkan dan memperbaiki pertuturan Bahasa Inggeris di kalangan kakitangan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) khususnya mereka yang bertugas di bahagian kaunter perkhidmatan pelanggan, Unit Latihan dan Kualiti telah berjaya menganjurkan satu bengkel secara atas talian bertajuk “English For Communication – Series 1 “ pada 25 Februari 2021. Matlamat  utama bengkel ini diadakan adalah sebagai keperluan untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti pertuturan Bahasa Inggeris serta melatih dan membimbing peserta memperolehi asas kefasihan Bahasa Inggeris  dengan betul.

Pemudahcara bengkel ini adalah Puan Fadzilah Hussin, Pustakawan dari Unit Pendidikan Pengguna, PSB. Walaupun dikendalikan secara atas talian , tetapi dengan menggunakan  kaedah dan teknik yang produktif, Puan Fadzilah telah berjaya menarik perhatian dan minat peserta untuk ikut serta dan memberi respon yang baik sepanjang bengkel ini berjalan. Sebagai permulaan iaitu siri satu,  bengkel dimulai dengan pengenalan kepada asas komponen Bahasa Inggeris iaitu part of speech dan cara menyebut huruf-huruf  vowel dan konsonan dengan betul dan jelas. Seterusnya peserta didedahkan tentang noun and pronouns, singular and plural, spelling rules for plurals, dan types of pronouns.

Untuk menarik minat dan menguji kefahaman peserta mengenai setiap tajuk yang diajar, Puan Fadzilah telah mengadakan beberapa pop quiz bagi setiap tajuk yang telah dipelajari.  Dengan memberi soalan yang mudah difahami, para peserta seronok mengambil bahagian menjawab semua soalan dengan memberi jawapan di ruang chat Webex. Selain dari kaedah pop quiz, pemudahcara bijak mempelbagaikan kaedah pengajaran dengan menggunakan tayangan video nyanyian mengenai jenis-jenis pronoun supaya semua peserta  mudah mengingatinya dan tidak jemu.

Bengkel yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini telah berakhir pada pukul 12.00 tengahari. Sesungguhnya  untuk menguasai  Bahasa Inggeris tidak boleh dilakukan dalam tempoh sehari dan ia melibatkan masa, usaha, dan komitmen yang tinggi di kalangan staf itu sendiri untuk menguasai bahasa kedua ini dan seterusnya selesa berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris dengan lancar.

Bengkel ini diharap sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan diri dan keupayaan untuk berkomunikasi dengan lebih efektif dalam Bahasa Inggeris  ketika membantu pelajar antarabangsa Universiti Utara Malaysia yang memerlukan bantuan di dalam pembelajaran mereka. Diharapkan juga, untuk siri bengkel yang akan datang semua peserta akan bersedia mengikuti setiap silibus yang telah dirangka demi kemajuan diri dan kerjaya masing-masing.

 

Disediakan dan gambar oleh : Azniza Binti Ahmad