PSB Online – Kesejahteraan dan kesihatan minda pekerja yang sihat dan positif mampu mempertingkatkan kualiti dan produktiviti pekerja dalam sesebuah organisasi. Majikan yang menitik berat kesihatan fizikal dan mental kakitangannya akan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan tidak mengabaikan aktiviti-aktiviti yang dapat menggalakkan kesihatan minda di tempat kerja. Justeru itu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) melalui Unit Latihan dan Kualiti dengan kerjasama Jawatankuasa Risiko telah menganjurkan Bengkel Kesihatan Minda siri 1 pada 6 April 2021, bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB.
Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 40 orang staf PSB yang dicalonkan oleh Ketua Bahagian masing-masing. Bagi siri 1 ini tajuk yang dipilih ialah “ I Am Perfectionist” dan telah dikendalikan oleh 2 orang Fasilitator iaitu Puan Noorul ‘Adilah Che Hamzah, Pegawai Psikologi Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia ( UUM ) bersama pembantunya iaitu Encik Fauzan.
Objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai personaliti dan tingkahlaku seorang ‘perfectionist’ dan bagaimana cara untuk memahami dan menangani tingkahlaku ini di tempat kerja ataupun dalam kehidupan seharian. Bengkel ini dimulai dengan pengenalan kepada apa itu personaliti ‘perfectionist’ dan ciri- ciri seorang ‘perfectionist’. Seterusnya semua peserta telah diminta untuk menjawab ujian personaliti di laman sesawang ‘verywellmind’ untuk mengetahui profil personaliti diri masing-masing. Menurut Puan Adilah “dalam hidup ini, kita tidak seharusnya menetapkan matlamat menjadi seorang ‘perfectionist” kerana matlamat itu sukar dan di luar capaian dan kemampuan kita. Seorang ‘perfectionist’ sangat takut akan kegagalan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan dan tidak dapat bertolak ansur dengan kegagalan diri sendiri“.
Di samping berkongsi ilmu pengetahuan mengenai tingkahlaku ‘perfectionist’, Puan Adilah juga turut berkongsi cerita menarik mengenai kes-kes personaliti sebegini di kalangan pelajar UUM yang telah ditangani sepanjang perkhidmatannya. Menurutnya, “Kebanyakkan kes pelajar ‘perfectionist‘ ini berakhir dengan pelajar itu gagal menamatkan pengajian di UUM kerana tidak boleh menerima hakikat keputusan peperiksaan tidak sempurna seperti yang disasarkan. Situasi ini amat menyedihkan kerana mereka ini adalah modal insan yang pintar, berprestasi tinggi dan mempunyai masa hadapan yang cerah”.
Bengkel yang bermula pada pukul 9.30 pagi ini berakhir pada pukul 12.30 tengahari dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati kepada penceramah oleh Cik Hanie Azyyati Abdul Jamil, Penolong Ketua Pustakawan, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar oleh : Abdul Hadi Mat Taib.