ADIRATNA KEMARA BOLEH TARIK MINAT PELAJAR BELAJAR SEJARAH

UUM ONLINE:  CHANGLUN: Projek mini galeri Adiratna Kemara di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun yang disiapkan dengan kerjasama Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam tempoh lima bulan di sekolah itu, boleh menarik minat pelajar dalam mata pelajaran sejarah.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, mini galeri itu dapat menyumbang kepada pembangunan intelektual dan spiritual generasi masa kini khasnya kepada pelajar-pelajar di sekolah SK Dato’ Wan Kemara.

“Perkongsian maklumat berbentuk fizikal dan eksklusif yang dibawa masuk ke pekarangan sekolah ini mampu menjadi daya penarik serta dapat meningkatkan nilai istimewa di SK. Dato’ Wan Kemara.

“Kewujudan mini galeri  ini juga tidak hanya bermanfaat kepada para pelajar dan guru, malah ianya boleh memberi manfaat kepada masyarakat setempat untuk menghayati warisan peninggalan nenek moyang mereka,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pustakawan UUM, Prof Madya Dr. Che Azlan Taib.

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM juga terlibat secara langsung menyiapkan projek ini sebagai salah satu daripada agenda Sustainable Development Goals (SDG) dalam usaha mencapai tiga daripada enam belas matlamat program tersebut.

Guru Besar Sekolah Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin pula berkata, hasil lawatan ke Muzium Pengurusan UUM memberi pencerahan dan ilham kepada pihak sekolah tentang penyusunan barangan artifak mengikut standard muzium.

Sementara itu, Dr Che Azlan mengucapkan tahniah kepada kakitangan Muzium dan Perpustakaan di atas idea dan semangat kerjasama telah berjaya menghasilkan sebuah mini galeri yang boleh menunjukkan sejarah silam apa yang berlaku di kawasan Changlun ini.

“Sebenarnya apa yang dimuatkan di dalam galeri itu sinonim juga dengan sejarah kehidupan saya 40 dan 45 tahun yang lalu,” katanya.

Dr Che Azlan juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu dan Pejabat Penghulu Mukim Temin dan semua ahli jawatankuasa yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kerana telah bertungkus-lumus dalam merealisasikan projek mini galeri Adiratna Kemara berkenaan.

 

 

Sumber: Unit Komunikasi Korporat, UUM

Oleh: Noorhanani Atirah Suhaime & Nurulnathasya Shahrul Nizam

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie