AKTIVITI GOTONG ROYONG PERDANA 5S PERINGKAT ZON PSB

PSB Online  –  Pada 09 September 2020 yang lalu, Jawatankuasa 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan aktiviti Gotong-Royong Perdana 5S peringkat Zon PSB.

 Antara objektif utama aktiviti ini adalah untuk memupuk kesedaran 5S di kalangan staf Perpustakaan serta sebagai  persediaan  awal menghadapi Audit Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S peringkat universiti bagi tahun 2020. Pembahagian kumpulan gotong-royong ini melibatkan semua paras Zon 5S  di PSB dan kesemua Ketua Zon 5S harus peka dengan apa yang perlu dilakukan seperti mengemaskini maklumat  dan membuat penambahbaikan terutama berkaitan pelaksanaan pematuhan terhadap langkah- langkah pencegahan COVID -19.

Bagi memastikan setiap Zon melakukan penambahbaikan yang boleh mendatangkan faedah mata merit kepada PSB ketika audit berlangsung kelak, Jawatankuasa 5S turut mengedarkan kriteria penilaian amalan persekitaran berkualiti 5S, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengikut norma baharu sebagai panduan kepada semua Ketua Zon.  Selain itu, Jawatakuasa 5S PSB juga turut mengedarkan  poster Standard Operating Procedure (SOP) penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka , etika bersalam ketika wabak  dan amalan mencuci tangan yang betul untuk dipamerkan sebagai peringatan di setiap zon.

Ketua Zon juga diminta untuk memastikan kesemua botol hand sanitizer ditempatkan di tempat tumpuan umum seperti di dalam lif, surau, bilik makan, kaunter dan di semua mesin layan diri pinjaman dan pemulangan buku yang terdapat di PSB. Adalah sesuatu yang amat membanggakan apabila Zon Delima telah berjaya menghasilkan satu inovasi iaitu Foot Paddle Sanitizer yang ditempatkan di Pintu Masuk Aras Satu Bangunan Utaman PSB. Inovasi ini adalah bertujuan untuk memudahkan proses sanitasi tangan dengan meminimakan sentuhan.

Menerusi amalan kitar semula melalui 5S dan 3R (reduce, reuse, recycle), pihak Jawatankuasa 5S telah mengambil inisiatif dengan mengadakan sesi ceramah khas bertajuk ‘Recycle For Life’ yang dijadualkan bakal berlangsung pada 14 September 2020. Menerusi kerjasama dengan Kumpulan Syarikat E-Idaman, penjualan barangan kitar semula juga akan diadakan pada hari tersebut. Oleh yang demikian kesemua barangan yang boleh dikitar semula terutama kertas dan botol plastik  boleh ditempatkan di sudut kitar semula PSB untuk tujuan tersebut.

Dalam kemeriahan bergotong-royong, kesemua staf juga diingatkan supaya mematuhi SOP pencegahan COVID-19 dengan sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan sepanjang melakukan aktiviti ini. Gotong-royong yang  bermula pada pukul 9.00 pagi ini telah berakhir pada jam 4.30 petang. Pihak Jawatankuasa 5S PSB berterima kasih atas kerjasama semua Ketua Zon dan staf PSB telah memberi sokongan dan komitmen yang tinggi untuk menjayakan aktiviti ini demi memastikan PSB sentiasa berada pada kedudukan ranking 10 terbaik UUM.

5S tanggungjawab kita. Jom amal 5S!

 

Disediakan oleh : Azniza Ahmad

Gambar :  AJK 5S PSB