AKTIVITI PENYENGGARAAN BILIK SERVER DEMI KELANGSUNGAN SERVIS

PSB Online – Bilik pelayan atau lebih dikenali dengan Bilik ’Server’ adalah sebuah bilik yang menempatkan semua server, storan dan peralatan rangkaian dan keselamatan yang terdapat di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Ianya juga menempatkan perkakasan ICT, perisian ICT dan juga rangkaian ICT yang lain. Kewujudan Bilik Server ini adalah  untuk memastikan pelayan sentiasa selamat daripada pencerobohan atau sebarang gangguan dan membolehkan ia dicapai sepanjang masa dengan suhu bilik yang bersesuaian serta mempunyai ciri-ciri keselamatan fizikal dan sekuriti.

Oleh yang demikian, untuk menjamin kelangsungan perkhidmatan atas talian PSB, Bahagian Sistem Maklumat (BSM) telah menjalankan aktiviti penyenggaraan Bilik Server. Aktiviti ini telah diadakan pada 18 November 2020 yang lalu dan telah bermula seawal jam 8.30 pagi. Seramai 6 orang staf BSM telah terlibat dengan aktiviti gotong-royong ini dan turut serta bersama ialah Ketua Pustakawan, Encik Salleh Hudin Mustaffa.

Sepanjang aktiviti penyenggaraan ini dilakukan, kesemua server yang melibatkan perkhidmatan atas talian PSB adalah tidak boleh dicapai buat sementara waktu. Antara perkhidmatan yang tergendala adalah kesemua capaian ke laman sesawang PSB kecuali  Sistem Sierra dan eResources. Walaubagaimanapun, pengguna telah dimaklumkan terlebih dahulu berhubung gangguan ketidakbolehcapaian akibat daripada aktiviti ini. Sementara itu, antara kerja-kerja yang dilakukan adalah aktiviti menyahkan habuk yang terdapat di dalam hard disk server, mengemaskini kabel-kabel yang terdapat di belakang server dan menyusun atur semula kedudukan server agar kelihatan lebih kemas.

Aktiviti penyenggaraan sebegini adalah perlu dilakukan secara berkala agar keselamatan Bilik Server sentiasa terjamin memandangkan fungsi bilik ini yang amat penting sekali dalam kelangsungan servis dan perkhidmatan atas talian PSB. Semua kerja-kerja penyenggaraan berakhir sekitar jam 5.30 petang.

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Izhar Hashim & Mohd Shazwan Nabil Shukor