
PSB ONLINE : 27 Mac 2025 – PSB UUM telah menganjurkan program Andai Ini Ramadan Terakhir Kami yang disampaikan sendiri oleh YBhg Prof. Dr. Che Azlan Taib, selaku Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
Program ini dimulai dengan bacaan Al-Quran yang diketuai oleh Encik Iruan Husin. Surah yang dibaca oleh beliau ialah surah Al-Baqarah, ayat 183 hingga 185. Potongan ayat ini menceritakan tentang kewajipan berpuasa ke atas orang beriman, sebagaimana ia telah diwajibkan kepada umat terdahulu, dengan tujuan meningkatkan ketakwaan. Puasa diwajibkan pada bulan Ramadan, tetapi keringanan diberikan kepada mereka yang sakit atau sedang dalam perjalanan, di mana mereka dibenarkan untuk berbuka dan menggantikan puasa pada hari lain. Bagi mereka yang tidak mampu berpuasa seperti orang tua, fidyah boleh dibayar dengan memberi makan kepada orang miskin. Walaupun fidyah dibenarkan, berpuasa tetap lebih baik jika mampu.Ayat ini turut menegaskan bahawa bulan Ramadan merupakan bulan di mana Al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup bagi manusia. Allah menetapkan puasa dengan tujuan memberi kemudahan, bukan kesukaran, agar manusia dapat menyempurnakan ibadah ini, membesarkan Allah, dan bersyukur atas petunjuk-Nya.
Setelah itu, program diteruskan lagi dengan bacaan doa oleh Encik Ajmal untuk memohon keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT di dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Menghampiri penghujung program, YBhg. Prof. Dr. Che Azlan Taib tampil memberikan ucapan ringkas. Di dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang manfaat malam Lailatul Qadar. Menurut beliau, malam Lailatul Qadar merupakan malam yang sangat istimewa dalam segala amal ibadah yang dilakukan pada malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Pintu keampunan Allah terbuka luas, doa-doa dimakbulkan, pahala digandakan berkali ganda, dan hati menjadi lebih tenang serta dekat dengan-Nya. Tambahnya lagi, kita seharusnya mengambil peluang ini untuk mengecapi nikmat malam Lailatul Qadar dengan bangun malam untuk berqiamulail, menunaikan solat Tahajud, solat secara berjemaah dan solat tarawih serta witir.
Selain itu, beliau turut mengingatkan semua untuk mengambil iktibar daripada bulan Ramadan serta menghayati falsafah-falsafah Ramadan. Setelah itu, program diakhiri dengan sesi bersalam-salaman sesama staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
Disediakan oleh : Nurul Syafika Binti Che Zin
Pelajar latihan industri
Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail