ANGER MANAGEMENT MENUTUP TRILOGI SIRI BENGKEL KESIHATAN MINDA DI PSB​

PSB Online – Sudah menjadi kebiasaan, bila kita tidak dapat mengawal emosi, sering kali kita bertindak di luar kawalan. Setiap orang boleh marah, tetapi tahap kemarahan adalah berbeza mengikut individu. Jika kita gagal mengawal luapan emosi marah di tempat kerja dan bertindak di luar batas rasional, akibatnya mungkin merugikan diri sendiri, kerjaya dan  juga keluarga tersayang.

​Menyedari hal itu, Unit Latihan dan Kualiti Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan kerjasama Jawatankuasa Risiko PSB telah melanjutkan  Siri Bengkel Kesihatan Minda di tempat kerja.  Bengkel kali ini adalah merupakan siri yang ke-3  dengan tajuk “ Anger Managemet“ dan telah diadakan pada 3 Jun 2021. Siri ke-ini merupakan penutup Bengkel Kesihatan Minda yang telah berjaya diadakan sebelum ini dengan siri-1 bertajuk “ I’m Perfectionist” dan siri ke-2 bertajuk “Anxiety and Stress”.

Bengkel ini diadakan secara langsung menerusi platform Cisco Webex  bermula pada pukul 9.45 pagi. Sebagai meraikan kehadiran 76 peserta, penceramah undangan,  Puan Nurly Azyani Binti Ahmad, Pegawai Psikologi Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), telah bertanya khabar tentang  keadaan emosi masing-masing ekoran kes harian COVID-19 di Malaysia semakin meningkat  dan semua  staf sedang dan semua  staf sedang bekerja dari rumah ekoran dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP).  

Menurut puan Nurly, “emosi adalah sesuatu yang dirasai oleh seseorang secara dalaman dan sukar ditentukan secara objektif. Secara umumnya emosi kita boleh dibahagi kepada 2 bahagian iaitu emosi positif dan emosi negatif. Marah adalah emosi negatif dan kita akan berasa tidak seronok apabila kita naik marah atau dimarahi”. Seterusnya, semua peserta diperkenalkan kepada definisi apa itu marah? kenapa kita marah? Kesan marah dan bagaimana kita mengurus marah. Menurut puan Nurly lagi, “marah memiliki 3 gaya  yang perlu semua orang tahu iaitu marah berselindung, marah meletup dan marah kronik. Apabila seseorang itu sedang marah, individu berkenaan akan melepaskan kemarahan melalui 3 cara iaitu melalui tindakbalas fizikal, tindakbalas emosi dan tindakbalas tingkahlaku. Sebagai individu yang bekerja, kita perlu mengenali simptom punca marah yang sering berlaku di sesebuah organisasi seperti ketidakadilan pembahagian sumber dan keperluan pejabat, perubahan tempat dan arahan kerja dan perasaan saling tidak mempercayai serta syak wasangka”.

Selain dari berkongsi maklumat melalui slide powerpoint. Puan Nurly juga turut berkongsi 3 tayangan video mengenai emosi iaitu video bertajuk ‘How Is She Feeling? ’, ‘Anger Management’ dan ‘ 8 Ways To Overcome Anger’ sebagai maklumat tambahan kepada peserta. SDelain itu, beliau juga turut berkongsi pengalaman beliau sendiri mengurus tekanan dan marah ketika di rumah dan di tempat kerja.

Di penghujung ceramah, Puan Nurly turut berkongsi tips dan cara mengurangkan kemarahan dengan mengamalkan konsep ‘pause’. “Selain dari kita mengingati Allah dan berwuduk untuk menundukkan rasa marah, kita juga boleh amalkan konsep ini dengan diam dan fikir. Diam mampu melahirkan kesabaran dengan berhenti sejenak dan seterusnya berfikir mengapa aku perlu marah? apakah kesan kemarahan aku nanti? dan bagaimana pandangan Allah kepada aku?”

Bengkel ini berakhir pada pukul 11.45 pagi dengan beberapa lontaran soalan daripada para pserta yang ingin mendapat pandangan dari seorang kaunselor UUM yang terlatih  mengenai pengurusan emosi dan tekanan ketika menghadapi ancaman pandemik COVID-19.

Disediakan dan gambar oleh : Azniza Binti  Ahmad