AUDIT DALAMAN EKSA PERINGKAT UNIVERSITI SIRI I: ZON SINTOK BERLANGSUNG DENGAN JAYANYA

PSB ONLINE – 28 April 2025 – Audit Dalaman EKSA Peringkat Universiti Siri 1 bagi Zon Sintok telah berlangsung dengan jayanya dimulai dengan opening meeting di Bilik Mesyuarat 2, Bangunan Tambahan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), dengan kehadiran dua orang auditor yang berpengalaman, iaitu Puan Haslida binti Ismail, Pegawai Tadbir dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif dan Puan Robayah binti Md. Hassan, Penolong Pegawai Tadbir dari Pusat Pengajian Kerajaan.

Turut hadir, seramai 28 orang wakil dari setiap jabatan di Zon Sintok, serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa EKSA PSB. Kehadiran yang menggalakkan ini menunjukkan komitmen yang tinggi dari semua pihak dalam memastikan amalan EKSA dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Sesi Pembukaan Audit EKSA bagi Zon Sintok ini dimulakan dengan kata aluan dari Wakil Ketua Zon Sintok, Puan Faizah binti Hashim, Pegawai Tadbir dari Jabatan Sumber Manusia. Diteruskan lagi dengan penerangan terperinci dari wakil auditor, Puan Haslida binti Ismail, mengenai proses audit dan kepentingan amalan EKSA dalam meningkatkan kualiti persekitaran kerja. Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama antara semua jabatan untuk mencapai matlamat EKSA.

Seterusnya, auditor terus menjalankan sesi audit di ruang-ruang dan sudut-sudut kerja serta kemudahan di sekitar PSB mengikut komponen kriteria audit pelaksanaan EKSA, di mana mereka dapat melihat sendiri keadaan semasa dan mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan persekitaran kerja yang lebih efisien dan kondusif.

Hasil audit menunjukkan bahawa PSB telah mencapai tahap pematuhan yang tinggi terhadap prinsip EKSA. Beberapa aspek yang perlu diperbaiki telah dikenal pasti, termasuk etika penggunaan ruang dan peraturan, serta mewujudkan keseragaman pelaksanaan EKSA.

Diharapkan dengan pelaksanaan audit dalaman EKSA ini, dapat memberikan manfaat jangka panjang dalam memperkukuh pelaksanaan EKSA di semua zon, serta memberi sumbangan kepada penciptaan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan memenuhi piawaian yang telah ditetapkan seterusnya memberi impak kepada peningkatan produktiviti semua staf.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah binti Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail