Ramadhan membawa maksud panas yang sangat terik. Dinamakan demikian kerana pada bulan tersebut di tanah Arab kebiasaannya cuaca adalah panas, terik dan kering. Maka makna panas tersebut diharapkan dapat membakar segala kekotoran dosa orang yang berpuasa dan yang menghidupkan ibadah di sepanjang bulan Ramadan.
Setiap kali tibanya bulan Ramadhan bulan yang mulia maka berlumba-lumbalah umat manusia menambah pahala dan mengambil peluang mengisi masa lapang dengan mendengar tazkirah, ceramah serta kuliah agama.
Oleh yang demikian, pada 7 Jun 2017 yang lalu, satu ceramah Ramadhan telah dianjurkan oleh Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang bertajuk “Tazkiyatun Nafs” bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan, PSB. Ceramah ini telah disampaikan oleh Ustaz Hafiz Mustafa Lubis dan telah berjaya menarik minat ramai warga Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menghadirinya.
Antara intipati tajuk ceramah ini adalah semua manusia perlu menyucikan hatinya dalam kehidupan seharian malah bermulanya ramadhan kita perlu meningkatkan ibadah dan mengurangkan kerja yang tidak berfaedah. Ramadhan adalah bulan rahmat bagi memohon ampun dan maaf serta meminta kemudahan dari Allah SWT. Kita semua digalakkan untuk banyak berdoa di sepanjang bulan ramadhan ini dan terdapat 3 (tiga) doa yang dikongsi oleh beliau untuk kita amalkan iaitu yang dipetik daripada Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim, Ibnu Hiban dan Tirmidzi R.A. Doa-doa ini perlu diamalkan selalu supaya kita semua mendapat keberkatan dalam hidup. Dengan memperbanyakkan berdoa,maka mudah-mudahan kita mendapat keampunan Allah dan dimudahkan dalam setiap urusan seharian.
Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim
Gambar oleh: Mad Affrizi Ismail