16 Februari 2020 – Sempena Pesta Buku Utara 2020 yang berlangsung dari 16 hingga 20 Februari 2020 yang lalu, Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan Pertandingan Bercerita di kalangan sekolah-sekolah berdekatan kampus Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pertandingan ini telah disambut baik oleh beberapa buah sekolah antaranya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Changloon, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kayu Hitam dengan penyertaan seramai 15 orang dan 6 orang guru pengiring. Para peserta telah diadili oleh dua orang juri yang bertauliah iaitu seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah iaitu Dr. Melor Fauzita Binti Md. Yusoff dan seorang lagi dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden iaitu Dr. Nor Hasimah Bt Ismail .
Pertandingan bercerita ini telah dijuarai oleh adik Nor Malissa Zahira Jamil, adik Nur Fara Erina Nasirudin di tempat kedua dan Adik Muhammad Arif Sazwan Abdullah di tempat ketiga. Kesemua mereka adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Changloon dan masing-masing telah membawa pulang hadiah wang tunai, sijil penyertaan dan juga hamper. Hadiah ini telah disampaikan oleh En Razak Bin Siamin selaku Timbalan Ketua Pustakawan. Program ini tamat sekitar jam 12.30 tengahari.
Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim
Gambar oleh: Nur Darina Khairil Anwar