PSB ONLINE: Siri Bedah Buku 13 telah dijalankan pada 5 Disember 2024 yang lalu oleh Cik Siti Hazniza Abdul Khadir, Pelajar Latihan Industri, Program Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan, UiTM dengan buku yang dipilih bertajuk “Susahnya Hidup Dengan Manusia”, hasil tulisan dari dua orang penulis yang merupakan ahli psikologi iaitu Akif Basri dan ‘Asim Hatta. Buku berkenaan telah diterbitkan oleh IMAN Publication, pada tahun 2023. Buku ini menceritakan bagaimana menjaga emosi apabila bertemu orang-orang yang sukar.
Ringkasan buku “Susahnya Hidup Dengan Manusia” para penulis mengajak kita untuk tidak semata-mata mengelak atau bertahan dengan situasi, tetapi juga mempersiapkan diri dengan skil yang diperlukan dalam berhadapan dengan orang yang mencabar dalam hidup. Segala kisah yang dikongsikan didalam buku ini adalah kisah nyata kerana sebelum penulis menyiapkan buku ini, mereka telah menjalankan beberapa kajian untuk mengukuhkan lagi hujah yang akan dikongsikan kepada pembaca. Bahasa yang digunakan oleh pengarang adalah bahasa yang mudah difahami dan santai serta terdapat pelbagai contoh yang berkaitan dengan hidupan harian kita.
Bagi sesi bedah buku kali ini, Cik Siti Hazniza banyak berkongsi berkaitan pergaulan dan pekerja yang terpaksa berhadapan dengan majikan ataupun rakan sekerja yang banyak karenah. Isi kandungan yang terdapat didalam buku ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu di bahagian 1 berkaitan Situasi-Situasi yang Menyukarkan dan Orang-Orang yang Memenatkan seperti:
Situasi 1: Menghadapi Ibu yang Bersifat Autoritarian
Situasi 2: Berkawan dengan Orang yang Rasa Dirinya Lebih “Superior”
Situasi 3: Bekerja dengan Perfectionist
Situasi 4: Dimalukan di Khalayak Ramai
Situasi 5: Ghosting dalam Perhubungan Harian
Situasi 6: Bekerja dengan Orang yang Selalu Bertangguh
Situasi 7: Dikelirukan oleh Orang Manipulatif
Situasi 8: Menghadap Orang yang Suka Membahan dan Memperlekehkan Untuk bahagian 2 berkaitan Panduan Umum yang Praktikal, Penutup, Rujukan Lain dan Profil Penulis.
Buku ini dapat dijadikan panduan serta dapat mengajar semua orang untuk mengendali emosi semasa berurusan sesama orang-orang yang sukar. Segala perkongsian yang diberikan didalam buku ini adalah kisah yang dihadapi oleh sesetengah orang.
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Siti Ainsyah binti Kamis
Penolong Pustakawan (S29)
Bahagian Komunikasi Korporat