BEDAH BUKU SIRI 17: INTIPATI, EKOSISTEM DAN PEMBUDAYAAN ORGANISASI KREATIF

PSB ONLINE: Bedah Buku Siri 17 telah dijalankan pada 24 April 2025 oleh Encik Ku Azhar Ku Saud, Penolong Ketua Pustakawan dengan buku karangannya bertajuk “Intipati, Ekosistem dan Pembudayaan Organisasi Kreatif”. Mengikut penulis, penulisan buku ini telah mengambil masa selama empat (4) tahun daripada tahun 2019 hingga 2023 untuk disiapkan disebabkan oleh kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Coronavirus Disease 2019 (COVID-19).

Buku ini menceritakan dengan mendalam mengenai disiplin kreativiti dan inovasi dalam sesebuah organisasi. Secara keseluruhan, buku ini merangkumi sepuluh bab yang memperincikan pelbagai aspek penting dalam membangunkan dan mengintegrasikan kreativiti serta inovasi ke dalam budaya organisasi iaitu:

Bab 1: Membincangkan kreativiti dan inovasi dari sudut mentaliti pemikiran, perubahan dalam struktur kehidupan manusia, serta pendekatan falsafah, konsep, dan teori yang berkaitan dengan kreativiti. Selain itu, ia turut mengupas perkembangan kreativiti di Malaysia sebagai perbandingan dalam konteks tempatan

Bab 2: Memberi fokus kepada justifikasi metodologi yang berkaitan dengan kreativiti dan inovasi, serta menjelaskan bentuk dan sifat kedua-dua elemen tersebut dalam konteks struktur organisasi

Bab 3: Menghuraikan perspektif organisasi dalam revolusi pemikiran serta menghubungkan keperluan kemahiran kreatif dan inovatif dengan struktur organisasi yang kompleks.

Bab 4: Mengupas secara konseptual apa yang dimaksudkan dengan organisasi kreatif dan bagaimana ia perlu melalui proses evolusi. Perbincangan meliputi konsep, teori, proses, perspektif psikologi, serta kaedah pengurusan yang relevan. Selain itu, buku ini turut menyertakan kajian kes sebagai panduan berguna bagi pengurus yang ingin menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai teras utama dalam organisasi.

Bab 5 :  Memfokuskan pada pemusatan pembudayaan kreatif, dengan memberi penekanan kepada cara-cara untuk mewujudkan iklim kreatif yang berterusan dan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam organisasi bertujuan agar setiap aspek pengurusan dapat dijiwai dengan semangat kreativiti dan inovasi.

Bab 6: Menjelaskan bagaimana pihak pengurusan perlu mewujudkan struktur yang sesuai agar proses kreativiti dan inovasi dapat dijalankan dengan teratur. Ini merangkumi cara-cara untuk mengintegrasikan elemen kreativiti dalam struktur organisasi moden bagi memastikan kelancaran dan keberkesanannya.

Bab 7: Memfokuskan kepada peranan kepimpinan dalam menguruskan staf kreatif dengan memberikan rangsangan yang tepat. Kepimpinan yang berkesan haruslah menyediakan latihan dan penghargaan yang sesuai, serta mengelakkan kemunduran atau kemerosotan dalam organisasi yang boleh berlaku akibat daripada kepimpinan yang kurang inovatif.

Bab 8: Menekankan konteks kreativiti dan inovasi yang berpotensi memberi tekanan terhadap pengadaptasian teknologi secara menyeluruh di pelbagai peringkat pengurusan manusia.

Bab 9: Mengenengahkan persoalan mengenai halangan-halangan semasa yang menjadi isu utama dalam amalan kreativiti dan inovasi yang berkaitan dengan organisasi.

Bab 10:  Mengutarakan kesimpulan mengenai dimensi kreativiti dan inovasi terhadap pertumbuhan kehidupan manusia termasuk kemampuan untuk berkembang di dalam organisasi yang terbuka kepada inovasi dan kreativiti dan organisasi yang menyekat dua elemen ini.

Secara ringkasnya, buku ini memberi fokus kepada pemahaman kreativiti dan inovasi, baik dari segi teori mahupun praktikal. Ia mengupas bagaimana kreativiti terbentuk melalui aspek mentaliti, falsafah, konsep, dan teori, serta bagaimana inovasi bertindak sebagai pemangkin perubahan dalam organisasi moden. Pemahaman yang mendalam tentang asas-asas ini adalah kunci untuk membentuk organisasi yang beradaptasi dan berdaya saing. 

Selain itu, ia  juga meneroka hubungan antara kreativiti dan inovasi dengan ekosistem keseluruhan sesebuah organisasi. Ini merangkumi struktur organisasi, proses kerja, peranan sumber manusia, serta penciptaan budaya kerja yang menyokong kreativiti. Aspek kepimpinan, pembudayaan kreatif, dan pendekatan pengurusan inovatif juga turut dibincangkan sebagai langkah untuk memastikan kreativiti dapat diintegrasikan secara sistematik ke dalam operasi sesebuah organisasi.

Buku terbitan Red Cili Media ini turut memperkenalkan pelbagai strategi dan intervensi praktikal yang dapat memperkasa kreativiti dalam organisasi. Antara elemen utama yang ditekankan termasuk reka bentuk struktur kreatif, inovasi terbuka, latihan staf yang memupuk pemikiran kreatif, serta pendekatan kepimpinan yang berkesan. Semua ini bertujuan untuk memastikan organisasi bukan sahaja dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik dalam landskap industri masa kini, malah mampu berkembang maju dengan daya saing yang kukuh dan kapasiti inovasi yang luar biasa.

Melalui buku ini, diharapkan pembaca bukan sahaja dapat memahami prospek kreativiti dan inovasi dalam organisasi, tetapi juga dapat menghayati bagaimana kedua-dua elemen ini memainkan peranan penting dalam merangsang perkembangan organisasi.

 

Disediakan oleh : Nurul Syafika Binti Che Zin
Pelajar latihan industri
Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
Gambar oleh: Puan Hasma Binti Haji Harun