BENGKEL ASAS PEMBANGUNAN LAMAN WEB BERI ILMU BAHARU BUAT STAF PSB

PSB Online: Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjurkan satu Bengkel Asas Pembangunan Laman Web pada 16 Februari 2021 yang lalu.

Bengkel ini telah diadakan secara atas talian menerusi platform Cisco Webex dan telah berjaya menghimpunkan seramai 60 orang peserta maya yang terdiri daripada staf PSB untuk bersama-sama mengikuti bengkel ini walau sedang bekerja daripada rumah atau di pejabat. Ianya telah disampaikan oleh En. Zaihasrim Mohd Dawal, Pembantu Pustakawan dari Unit Website/User Experience Service.

Menurut Ketua Unit Latihan dan Kualiti iaitu En. Ku Rosyidi Ku Md Razi, antara objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta berkenaan konsep asas pembangunan laman web selain turut menyediakan kumpulan modal insan berkualiti dan berkeupayaan membangunkan laman web untuk organisasi. Tambah beliau lagi, ianya juga dapat memberikan nilai tambah kepada bidang kerja semasa dengan mengaplikasikan ICT dalam melancarkan proses kerja.

Menerusi bengkel ini, para peserta telah diberi tunjuk ajar mengenai tatacara membangunkan laman web bermula dengan mendaftar emel sehingga proses membangunkan kandungan dan rekabentuk. Antara platform yang digunakan sepanjang proses ini adalah menggunakan platform ‘Infinityfree’ sebagai penyedia hosting yang berinisiatif untuk memberikan hosting secara independent. Selain itu, para peserta juga turut didedahkan dengan WordPress iaitu sebuah platform pembuat website yang paling banyak digunakan di dunia saat ini. Fungsi-fungsi yang diberikan adalah sangat banyak dan dapat membantu mempermudahkan pekerjaan dalam membangunkan sesebuah laman web.

Kesemua peserta kelihatan teruja dan sangat berminat mengikuti bengkel ini. Ruangan ‘chat’ juga tidak sunyi dengan pertanyaan-pertanyaan mengenai pembangunan laman web ini. Semoga objektif bengkel ini dapat dicapai sepenuhnya di samping menambah ilmu baharu buat staf PSB. Bengkel ini ini bermula seawal jam 9.00 pagi dan tamat sekitar jam 12.00 tengahari.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Ku Rosyidi Ku Md Razi & Noraini Alias