BENGKEL GANGGUAN SEKSUAL DI TEMPAT KERJA TINGKAT KESEDARAN STAF PSB

PSB Online  – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) komited menyediakan persekitaran  kerja yang selamat dan sejahtera kepada semua kakitangannya. Budaya kerja di organisasi seperti PSB banyak melibatkan pergaulan atau interaksi merentasi jantina. Gangguan seksual boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sama ada terhadap berlainan atau sesama jantina yang mana perbuatan tidak bermoral ini boleh menganggu keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan pekerja. Oleh itu PSB  tidak bertoleransi dengan apa-apa bentuk perbuatan gangguan seksual samada perlakuan itu secara lisan, bukan lisan, fizikal, visual, atau secara psikologi.

Untuk itu, Unit Latihan dan Sistem Kualiti telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Perkhidmatan Awam : Gangguan Seksual Di Tempat Kerja pada 20 Februari 2023 bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB. Bengkel ini telah disampaikan oleh Puan Mahani Binti Salleh, Timbalan Penasihat Undang-Undang dari Unit Undang-Undang Jabatan Canselori UUM.

Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang maksud gangguan seksual, kesan terhadap mangsa, sokongan yang boleh diberikan serta tindakan yang boleh diambil jika gangguan seksual itu berlaku.

Menurut Puan Mahani, tiada seorang pun kakitangan UUM ketika bekerja boleh melakukan gangguan seksual terhadap mana-mana individu baik sesama staf ataupun kepada golongan pelajar. Ini kerana gangguan seksual merupakan kesalahan tatatertib yang boleh membawa natijah hingga boleh dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.

Oleh itu beliau memuji inisiatif PSB menganjurkan bengkel ini kerana kesedaran tentang gangguan seksual perlu dipertingkatkan untuk saling ingat mengingati supaya unsur tidak sihat ini boleh dielakkan. Selain dari penerangan tentang gangguan seksual, Puan Mahani juga turut memberi nasihat dan panduan berkaitan undang-undang dan prosedur aduan dalam menangani kes ini.

Selain dari melibatkan seramai 62 staf PSB, bengkel ini turut menarik perhatian Ketua Pustakawan, Tuan Haji Salleh Hudin Mustaffa dan juga Pengarah Muzium Pengurusan UUM, Tuan Haji Mohd Fairus Bin Abd Majid yang hadir memberi sokongan.

Bengkel yang bermula pada 9.00 pagi ini diakhiri dengan majlis penyampaian cenderamata kepada penceramah pada pukul 10.15 pagi.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad

Gambar :  Zarith Sofea Binti Zaharin