BENGKEL HALA TUJU PSB CETUS PELBAGAI IDEA BAHARU

8 Januari 2020 – Pelbagai cetusan idea dan pandangan yang menarik telah berjaya dikumpulkan menerusi Bengkel Hala Tuju PSB 2020 yang telah berlangsung selama 2 hari bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan juga di Foyer Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB.

Bengkel ini merupakan perbincangan mengenai penambahbaikan servis dan fasiliti di PSB serta percambahan idea baharu untuk diketengahkan pada masa akan datang. Ianya telah melibatkan sudut pandangan dari dua golongan iaitu Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Sokongan dan Pelaksana.

Semua yang terlibat telah diminta untuk memberi pandangan dan idea mereka secara berkumpulan dan menyerahkannya kepada urusetia. Kemudian, En. Razak Siamin selaku Timbalan Ketua Pustakawan, meminta peserta bengkel untuk memilih 5 pilihan yang dirasakan paling relevan dan menarik untuk dilaksanakan di PSB. Pelaksanaan idea ini akan dilaksanakan setelah pihak pengurusan melihat dan meneliti kebaikan dan keburukan perkara-perkara tersebut dari aspek yang menyeluruh.

Semoga pelbagai idea baharu yang telah dilontarkan dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien mengikut kesesuaian sumber sedia ada agar servis dan fasiliti yang terbaik PSB dapat diberikan kepada pengguna perpustakaan yang sentiasa berubah dan mencabar.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail & Noraini Alias