BENGKEL KEPIMPINAN PSB 2021 BERSAMA TIMBALAN KETUA PENDAFTAR

PSB Online – Bengkel Kepimpinan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) 2021 telah diadakan pada 2 Mac 2021 yang lalu. Bengkel ini adalah bersama En. Ahmad Rasidi Abdullah, Timbalan Pendaftar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Jabatan Pendaftar. Ianya adalah anjuran Unit Latihan dan Kualiti, PSB.

Bermula pada jam 9.00 pagi, bengkel ini telah diadakan bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB. Peserta yang terlibat menyertai bengkel ini adalah terdiri daripada pegawai perpustakaan bermula dari gred S26, S29, S41, S44, S48 dan S52. En. Ahmad Rasidi memulakan bengkel ini dengan memberi mukadimah melalui secebis potongan ayat Al-Qur’an dari Surah Al-Ra’d, Ayat 11 yang bermaksud Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.’ Melalui ayat ini, beliau turut memberi sedikit penerangan mengenai maksud ayat tersebut. Menurut beliau, setiap kejayaan haruslah diiringi dengan niat untuk berubah ke arah kebaikan. Oleh itu, setiap individu harus melakukan perubahan terhadap keadaan diri mereka sendiri kerana perubahan adalah bergantung kepada niat dan kehendak sendiri dan harus menitikberatkan elemen disiplin sebagai nilai utama kejayaan.

Selain itu juga, beliau turut berkongsi mengenai konsep kepimpinan. Menurut beliau “Terdapat perbezaan kepimpinan melalui manager (beri arahan) dan leader (bersama dan bawa)”. Tambah beliau lagi “harapan dalam kepimpinan adalah untuk menguruskan manusia agar kerja menjadi mudah”. Antara perkongsian lain oleh En. Ahmad Rasidi adalah beliau turut berkongsi konsep kepimpinan ‘Pengurusan Amoeba’ iaitu sebuah konsep dari bakteria yang berasal dari negara Jepun. Konsep ini diasaskan oleh Kazuo Inamori dengan mengenengahkan perkara-perkara seperti  merealisasikan pengurusan oleh semua (management by all), menggalakkan setiap ahli untuk mempunyai matlamat dengan mengukur sumbangan setiap ameba berdasarkan kecekapan, merealisasikan pengurusan yang telus, mewujudkan keharmonian antara arahan top-down dan bottom-up dan melahirkan pemimpin.

Menurut En. Ahmad Rasidi, terkini, UUM mempunyai seramai 1680 staf pentadbiran. Oleh yang demikian, cabaran mengurus dan memimpin adalah amat besar buat semua pemimpin dan pentadbir. Pelbagai kerenah dan masalah juga perlu diurus dengan baik dan berhemah agar setiap kerja dan urusan yang diarahkan dapat dilaksanakan dengan jaya. Bercakap mengenai kepimpinan dalam bidang kepustakawanan. Baliau berkongsi maklumat dan pengalaman beliau mengenai ‘Gaya Pustakawan’ seperti faktor manusia, pembelajaran berterusan-hasil output, seimbang dalam emosi (harmonis) dan keputusan atas diri sendiri (future). Selain itu juga, beliau turut berkongsi mengenai cabaran sebagai seorang pemimpin iaitu kita haruslah sentiasa bermuhasabah diri, mengawal nafsu, mengutamakan perkara pertama untuk Pusat Tanggungjawab (PTJ), melaksanakan  inovasi sosial, memberi dan mendapatkan sokongan,  mempunyai komunikasi yang baik dengan pihak luar serta yang terakhir adalah mempunyai kekuatan diri.

Sebelum berakhir, satu sesi soal jawab telah diadakan dengan pelbagai persoalan turut diajukan kepada beliau. Antara soalan yang diajukan adalah mengenai perancangan pihak Jabatan Pendaftar mengenai succession planning untuk semua staf terutama staf perpustakaan. Menurut beliau, perancangan tersebut adalah dilaksanakan dari semasa ke semasa dan ianya adalah di bawah pentadbiran pihak Jabatan Pendaftar. Bengkel ini tamat sekitar jam 12.00 tengahari.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Abdul Hadi Taib